Guru berkorban mengajar pelajar miskin di rumah

MAGELANG, INDONESIA – Henrikus Suroto, seorang guru, berjanji pelajarnya tidak akan ketinggalan dalam pendidikan apabila pandemik global memaksa sekolah-sekolah ditutup di kampung terpencil Kenalan di Indonesia.

Maka beliau mangharungi jalan-jalan berliku di kawasan pergunungan dan cenuram untuk mengunjungi komuniti perladangan yang miskin di Jawa Tengah, di mana kelas dalam talian mustahil diadakan disebabkan kekurangan perkhidmatan internet – kemewahan yang mampu disediakan oleh segelintir ibu bapa di kampung berkenaan.

Bukan sahaja Suroto menghadapi risiko kematian atau penyakit serius akibat COVID-19, beliau juga melanggar perintah kerajaan supaya tidak mengadakan kelas secara fizikal untuk mengekang penularan penyakit tersebut.

“Tidak ada sesiapa yang memaksa saya untuk melakukannya – ia adalah sesuatu dalam diri saya yang memberitahu saya untuk melakukannya,” cerita guru berusia 57 tahun itu kepada AFP.

“Saya rasa agak bersalah kerana melanggar perintah untuk mengadakan kelas dalam talian, namun pada hakikatnya, situasi bukan senang di sini.

Pelajar sekolah rendah (kanan) menyambut guru mereka Henrikus Suroto (kiri) semasa beliau tiba untuk mengajar di rumah mereka di Magelang, Jawa Tengah. – AFP
Guru sekolah rendah Henrikus Suroto (tengah) mengadakan kelas di rumah pelajarnya di Magelang, Jawa Tengah, selepas sekolah ditutup disebabkan wabak COVID-19. – AFP

“Satu-satunya penyelesaian adalah mendekati pelajar dengan pengajaran dari pintu-ke-pintu,” tambah beliau.

Suroto ialah salah seorang daripada sejumlah kecil guru yang meredah kawasan gunung, cuaca buruk dan risiko dijangkiti koronavirus, untuk sampai kepada pelajar yang terkurung di rumah di seluruh negara, tempat tinggal kepada satu perempat bilion penduduk, negara dengan jumlah penduduk keempat paling ramai di dunia.

Hampir 70 juta kanak-kanak dan orang muda telah terjejas oleh penutupan sekolah yang bermula pada pertengahan bulan Mac.

Sementara pandemik telah mencetuskan keadaan melambung dalam pembelajaran dalam talian, terutamanya di negara kaya, kira-kira satu pertiga daripada 270 juta penduduk di Indonesia tidak mempunyai akses kepada Internet malah, dalam sesetengah kes, bekalan elektrik.

Suroto dan guru-guru Indonesia lain berkata mereka memakai penutup mulut dan hidung, namun risiko jatuh sakit atau menjangkiti para pelajar sentiasa wujud.

Avan Fathurrahman, seorang pengajar sekolah rendah di pulau Madura di Jawa Timur, melawat sehingga 11 orang pelajar sehari, satu pengalaman yang ditulis oleh beliau dalam laman Facebook yang kini telah tular.

Beliau mengaku berasa takut jatuh sakit atau dijangkiti virus tersebut.

“Namun kebimbangan saya diatasi dengan seruan untuk mengajar,” kata Fathurrahman.

“Saya tidak akan berasa selesa tinggal dalam rumah mengetahui pelajar saya tidak dapat belajar dengan betul.”

Selain gesaan kerajaan untuk mengadakan pembelajaran dalam talian, program pendidikan juga sedang disiarkan di saluran televisyen milik kerajaan.

Menteri pendidikan Nadiem Makarim, pengasas bersama aplikasi teksi tempatan GoJek – bagaimanapun mengakui cabaran yang timbul dalam pembelajaran dalam talian, dan meluahkan rasa terkejut tentang kekurangan perkhidmatan Internet di kalangan kebanyakan penduduk Indonesia di luar bandar.

“Kami perlu bergantung pada pembelajaran secara fizikal – guru-guru yang bergerak untuk mengajar dari pintu-ke-pintu,” kata beliau pada bulan lalu.

Pandemik telah menekankan cabaran besar dalam mempertingkat infrastruktur usang di seluruh gugusan kepulauan seluas 5,000 kilometer di Asia Tenggara – dasar utama untuk presiden Joko Widodo.

“Berhubung infrastruktur, Indonesia belum bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan pembelajaran dalam talian,” kata Christine Kristiyani, seorang pakar pendidikan di Universiti Sanata Dharma.

“Walaupun jika sidang video masa sebenar dapat dilaksanakan, ia menelan kos terlalu tinggi di kawasan luar bandar,” tambah beliau.

Sementara itu, ramai ibu bapa di kampung bergelut untuk merapatkan jurang tatkala mereka mengimbangi kerja mereka yang bergaji rendah dengan penjagaan anak.

“Saya hanya mampu mengingatkan budak-budak supaya belajar disebabkan saya tidak dapat membantu mereka seperti yang dilakukan oleh guru,” kata Orlin Giri, seorang ibu dari Nusa Tenggara Timur, salah satu rantau paling miskin di Indonesia.

“Dan kami tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli pelan Internet,” tambahnya.

Ia merupakan kisah yang biasa berlaku di seluruh negara, kata Fina, seorang guru di pulau Borneo.

“Ramai ibu bapa hanya tamat pendidikan sekolah rendah atau sekolah tinggi, atau mereka langsung tidak pergi ke sekolah,” kata beliau.

“Hanya mampu menghantar anak mereka ke sekolah merupakan satu pencapaian luar biasa.”

Fina, yang seperti kebanyakan warga Indonesia menggunakan satu nama, memilih tidak mengunjungi pelajar kerana beliau mempunyai seorang anak damit dan tinggal di satu kawasan dengan kadar jangkitan yang tinggi.

“Namun pandemik ini telah mengajar kami bahawa, sementara teknologi adalah berfaedah dan dapat membantu, ia setakat ini tidak dapat mengganti kehadiran guru-guru,” kata beliau.

Tatkala pihak berkuasa Indonesia menimbang untuk membuka semula sekolah, pengkritik mengingatkan masih terlalu awal kerana lengkung virus negara masih belum menurun.

Secara rasmi, negara itu mencatat lebih 35,000 kes COVID-19 dan 2,000 kematian. Namun dengan salah satu kadar ujian paling rendah di dunia, angka kematian sebenar Indonesia dipercayai jauh lebih tinggi.

Persatuan pediatrik negara telah mengeluarkan amaran bahawa pemakanan tak seimbang dan demam denggi bawaan nyamuk mungkin menimbulkan risiko lebih tinggi untuk kanak-kanak maut daripada penyakit pernafasan itu.

Hampir 18 peratus daripada kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Indonesia menderita daripada kekurangan zat pemakanan, sementara kanak-kanak berusia lima hingga 14 tahun membentuk hampir 42 peratus daripada pesakit demam denggi, menurut data kementerian kesihatan.

Risiko tersebut dipaparkan pada April apabila seorang budak perempuan berusia 11 tahun dengan demam denggi, yang boleh membawa maut, meninggal dunia selepas dijangkiti COVID-19.

Pihak berkuasa kesihatan berkata penyakit yang sudah wujud itu mungkin memburukkan lagi kesan virus ke atas sistem ketahanan tubuh badannya yang lemah.

Namun, kembali semula ke sekolah sudah lama dinanti-nantikan oleh sesetengah pelajar.

“Saya berasa bosan di rumah. Saya merindui sekolah dan semua kawan dan guru saya,” kata Gratia Ratna Febriari, seorang pelajar di kampung Kenalan.

Perasaan itu menyentuh perasaan guru sekolah tinggi Yunedi Sepdiana Sine yang berkata beliau akan terus menyahut seruan untuk melawat kira-kira 50 pelajar seminggu.

“Para pelajar benar-benar merindui guru mereka, maka saya rasa saya diperlukan,” kata beliau.

“Dan itulah yang membuat saya berasa puas hati.” – AFP