Guru besar ponteng kerja disiasat

TAWAU, 20 Feb – Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) akan menyiasat dakwaan seorang guru besar di sebuah sekolah rendah di negeri ini yang ponteng kerja sejak sekolah dibuka awal tahun ini.

Pengarah JPNS, Mistirine Radin berkata siasatan akan dijalankan berdasarkan banyak aduan yang diterima pihaknya termasuk daripada wakil rakyat di kawasan terbabit berkaitan ketidakhadiran guru besar tersebut.

“Jika aduan berkenaan didapati benar, jabatan akan mengambil tindakan yang tegas termasuk mengenakan tindakan tatatertib,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Bicara Profesional bersama Pengarah JPNS bagi Zon Pantai Timur Sabah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mistirine berkata Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini perlu memantau dan menyiasat segera jika menerima aduan berkaitan guru tidak hadir bertugas ke sekolah. – Bernama