Guru dan ibu bapa perlu bekerjasama

Isu e-learning memangnya sesuatu yang hangat pada masa ini, lebih-lebih lagi banyak pihak merasa terkesan dengan penutupan sekolah akibat penularan COVID-19.

Namun mungkin ada baiknya kedua-dua belah pihak bertolak ansur, guru tetap mengajar dengan cara yang dinasihatkan oleh pihak kementerian sama ada melalui dalam talian atau menghantar pek pembelajaran selain bertanya khabar mengenai anak murid mereka, sesekali melakukan pembelajaran yang bersesuaian melalui video, voice WhatsApp, sidang video dan live learning serta banyak lagi cara yang bersesuaian atau kombinasinya.

Lebih elok jika guru tersebut yang membuat video dengan mereka muncul di skrin peranti anak-anak berbanding segelintir yang hanya menggunakan video dari YouTube atau lain-lainnya.

Manakala ibu bapa meskipun bukan seorang guru, boleh memainkan peranan itu serba sedikit, mungkin boleh berkorban untuk anak-anak buat seketika. Kebimbangan ibu bapa adalah anak-anak tidak diajar seperti arahan kementerian, dikhuatiri ada segelintir guru lepas tangan, hanya mengarahkan ibu bapa mencetak kerja rumah yang sepatutnya boleh difotokopi (lebih murah berbanding mencetak bagi ibu bapa yang tidak berkemampuan, mengikut tinjauan, cetakan lebih mahal berbanding fotokopi) dan selebihnya memberi kerja rumah tanpa panduan atau bimbingan kepada ibu bapa sehingga ada ibu bapa yang jadi ‘singa’ kerana tertekan.

Ibu bapa sama seperti anak-anak, perlukan panduan dan bimbingan untuk mengajar anak, mungkin ada sebahagiannya tidak pandai berbahasa Arab, bagaimana nak mengajar anak pula.

Ada sebahagiannya bergelut dengan matematik yang ada kalanya lebih tinggi daripada jangkauan mereka.

Bagi kerja rumah pula, kanak-kanak yang tidak mempunyai peperiksaan penting bolehlah dikurangkan, kerana ada sekolah atau guru ada kalanya memberi terlalu banyak dalam masa seminggu, sehingga anak-anak pula jadi stres.

Apabila berada di rumah, anak-anak ada banyak perkara yang menarik perhatian mereka seperti TV, bermain, makan, beriadah sehingga pembelajaran ada kalanya sedikit sebanyak terganggu. Sekolah dan rumah berbeza suasana, maka ini juga perlu diberikan perhatian.

Manakala bagi permintaan untuk mengurangkan yuran persekolahan kepada separuh pula, boleh dibincangkan dengan sekolah atau pihak kementerian kerana sekolah juga perlukan Business Continuity Plan apabila wabak seumpamanya berlaku.

Untuk sekolah swasta misalnya, mungkin boleh dipertimbangkan bantuan penyerapan bayaran oleh pihak relevan, dan dengan itu ibu bapa hanya membayar peratusan sama ada 50, 60, 70 peratus sahaja dari segi yuran, sekali gus memberi kemenangan kepada kedua-dua belah pihak.

Mungkin pihak-pihak relevan perlu memikirkan lagi mekanisme yang win-win bagi keadaan ini.

Indung Jua