Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Guru diseru terus berani dan inovatif

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Inovasi dan transformasi adalah saling inklusif di mana ia perlu seiring serta jelas di setiap peringkat.

    Manakala sekolah lebih menitikberatkan pengajaran dan pembelajaran gabungan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Kementerian Pendidikan telah membangunkan dan berjaya melaksanakan Student Learning Survey (SLS).

    Ia merupakan penilaian standard kebangsaan yang dibangunkan untuk menyokong sekolah dan guru dalam mengukur kompetensi pelajar yang memainkan peranan kritikal dalam mengembangkan strategi-strategi berpandukan data.

    Dalam hubungan itu, para pendidik, akademik dan penyelidik diseru untuk terus berani dan inovatif dalam mengemudi segala kesukaran kerana ia merupakan langkah positif ke arah pemerkasaan.

    Seruan itu dibuat oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh ketika berucap pada Persidangan Hari Guru 2022 bersempena Sambutan Hari Guru ke-32 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa menyampaikan ucapan pada Persidangan Hari Guru 2022 yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Guru yang berada di barisan hadapan sistem pendidikan kita, merupakan pemangkin dalam mentransformasikan pendidikan dan tunjang utama dalam pendidikan berkualiti.

    Oleh itu, jelas Yang Berhormat Datin, pelaburan berterusan Kementerian Pendidikan dalam pembangunan profesional dan latihan guru adalah amat mustahak.

    Dalam hubungan itu, guru-guru dan peserta persidangan akan menggunakan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh dalam persidangan berkenaan untuk meneruskan perkongsian amalan terbaik profesional bagi pedagogi serta pendekatan yang inovatif.

    Di samping itu, pihak-pihak berkepentingan dinasihatkan untuk memupuk hubungan kolaborasi yang lebih kukuh serta penglibatan profesional di mana semua ia adalah amat kritikal dalam mencapai matlamat bersama.

    Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Datin menyatakan bahawa persidangan itu, dilaksanakan pada masa di mana Brunei sebagai sebuah negara telah melalui perubahan yang belum pernah dilihat sebelum ini yang dibawa oleh kesan pandemik COVID-19.

    Beliau memuji usaha para pendidikan yang terus menyampaikan pendidikan yang berkualiti walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran. Sikap inovatif mereka untuk membentuk kurikulum yang selaras dengan modaliti penilaian dan sumber digital, tambahnya, menggambarkan kreativiti mereka dan komitmen untuk memastikan pelajar-pelajar kita terus belajar.

    Dalam hubungan itu, secara tidak langsung guru-guru dan sekolah-sekolah sudah memulakan transformasi pendidikan.

    “Oleh itu, kita harus meneruskan momentum transformasi pendidikan untuk memastikan sekolah-sekolah, guru-guru dan pelajar-pelajar kita adalah bersiap siaga bagi sebarang kemungkinan.

    “Kita perlu berdaya tahan dan kekal komited bagi masa hadapan pelajar-pelajar kita, masa hadapan belia kita,” tekannya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...