Guru guna watak adiwira dalam kelas maya

LA PAZ – Kadang-kadang, Jorge Manolo Villarroel menjadi seorang adiwira Spiderman. Kadang-kadang, dia menjadi adiwira Flash, atau Green Lantern.

Tetapi sebenarnya dia adalah seorang guru, seorang yang mencapai impian masa kecilnya dengan berpakaian seperti adiwira terkenal untuk mengajar para pelajarnya sepanjang sekatan akibat COVID-19 yang mengikuti kelasnya secara dalam talian.

Kelasnya menjadi sangat popular sehingga adik-beradik ada yang bergaduh untuk berkongsi komputer riba untuk belajar dari guru berkostum adiwira itu. Mereka, akan bergilir-gilir untuk mengikuti kelas pembelajarannya.

“Mereka tiba lebih awal di kelas maya itu sebelum saya dan kejutan pertama adalah mereka akan meneka adiwira mana yang akan muncul di kelas dalam talian itu,” kata Villarroel.

Pada usia 33 tahun, Villarroel bercakap dengan penuh semangat bersama kanak-kanak.

Jorge Manolo Villarroel, memakai kostum Batman, bergambar di rumahnya semasa dalam kelasnya secara dalam taliann di La Paz, Bolivia. – AP
Jorge Manolo Villarroel bergambar di sebelah kostum adiwira miliknya, setelah mengendalilkan salah satu kelas dalam talian di rumahnya. – AP

Biliknya yang bersaiz sederhana dipenuhi dengan topeng-topeng dan kostum watak adiwiranya, bersama dengan beberapa gambar watak adiwira yang terkenal dan juga gambar orang tuanya.

Villarroel, yang tinggal di kawasan miskin di ibu kota Bolivia, mengajar subjek lukisan di Sekolah Katolik San Ignacio di kawasan yang lebih kaya.

Pelajarnya berumur antara sembilan hingga 14 tahun. Guru tersebut, yang berpakaian seperti Flash, menjelaskan kepada murid-muridnya yang masih kecil bagaimana mengumpulkan angka geometri menggunakan daun berwarna.

“Selama bertahun-tahun, mereka memasuki dunia dewasa kita, sekarang saatnya kita membuka dunia mereka, iaitu bergaul bersama mereka,” katanya.

“Apabila mereka bercakap, mereka boleh dibatasi, tetapi dalam perbualan mereka akan berkembang, mereka juga kadang-kadang menjadi guru dan menunjukkan kepada saya aplikasi.”

Kelas dimulakan dengan pemanasan badan gaya Zumba (Villarroel juga seorang pengajar Zumba), diikuti dengan alunan muzik adiwira dimainkan, untuk memadankan suasana yang bersesuaian.

Seramai 45 orang pelajar mengikuti kelasnya secara dalam talian.

Villarroel sendiri membuat kostum yang dipakainya. “Saya harus improvisasi kerana dengan sekatan kuarantin ini saya tidak dapat keluar.”

Kadang-kadang jika dia menggunakan cermin mata, dia kelihatan seperti disc jockey di hadapan komputer sebagai adiwira. Coquito seekor anjing kecilnya tidur di pangkuannya.

“Pendidikan terhenti seketika. Selepas wabak itu berlaku dan melanda semuanya telah berubah, termasuk pendidikan,” katanya.

Banyak sekolah, terutama sekolah swasta seperti Villarroel, telah menggunakan teknik mengajar secara dalam talian sejak bulan Mac lalu.

Tetapi di Bolivia, negara termiskin di Amerika Selatan, jalur lebar internetnya agak perlahan, mahal dan hanya terdapat di bandar-bandar besar sahaja.

Beberapa kawasan luar bandar yang miskin, elektrik baru tiba dan televisyen masih baharu. Ada yang mengadu bahawa kelas maya hanya disediakan untuk mereka yang mempunyai wang untuk membeli komputer atau telefon bimbit, yang memburukkan lagi perbezaan ketara di negara itu antara orang kaya dan miskin. Sebahagian mereka memiliki kemudahan internet tetapi sebahagian lainnya lagi terpaksa berdepan dengan kesukaran.

“Bahkan di sekolah swasta saya, ada anak-anak yang tidak memiliki telefon bimbit yang baik,” jelas Villarroel. “Tetapi kita berada dalam masa perubahan.” – AP