Guru hasilkan replika virus COVID-19

BALIK PULAU – Seorang guru TaDika Perpaduan di sini menzahirkan rasa cinta  dan semangat patriotisme sempena menyambut Bulan Kebangsaan kali ini dengan menghasilkan sebuah replika virus COVID-19, sebagai lambang perjuangan untuk membebaskan Malaysia daripada wabak berkenaan.

Normala Md Desa, 57, berkata replika yang dihasilkannya bersama seorang rakan bagi menyambut  Hari Kebangsaan ke-63 kali ini berbeza kerana ia tidak melibatkan pembinaan replika mercu tanda negara sebagaimana dilakukan beliau tahun-tahun sebelum ini, seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC), Jambatan Pulau Pinang dan kereta api kabel (funikular) Bukit Bendera.

“Replika (virus COVID-19) kali ini merupakan simbolik perjuangan kita memerangi pandemik COVID-19 dan supaya kita dapat merdeka daripada wabak ini suatu hari nanti.

Cabarannya lebih hebat kerana kita berperang dengan (sesuatu) yang kita tidak nampak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Perlis, Balik Pulau, dekat sini.

Beliau turut menerima kunjungan daripada pasukan “Info on Wheels” (IOW) Merdeka, JAPEN daerah Barat Daya yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN), Pulau Pinang, Ibrahim Hashim.

Normala Md Desa (dua, kanan) dibantu oleh jirannya Normala Shamsuri (kanan) dan Nazran Sulaiman (kiri) menyiapkan replika COVID-19 di kediamannya di Kampung Perlis, Jalan Perlis. Bernama
Nurul Nadiah Tajuddin membantu ibunya Normala Md Desa menghiasi perkarangan rumah dengan Jalur Gemilang. – Bernama

Menurut Normala, beliau mengambil inisiatif untuk menghiasi rumah sempena menyambut Bulan Kebangsaan pada setiap tahun kerana telah diasuh sejak kecil oleh bapanya yang merupakan seorang ketua kampung dan amalan berkenaan sudah sebati dalam dirinya.

Bercerita lanjut mengenai idea menghasilkan replika tersebut, Normala berkata pada mulanya pembinaan replika virus COVID-19 itu tidak dipersetujui oleh suaminya, Tajuddin Abdul Rani, 63, kerana dikhuatiri disalah tafsir oleh penduduk setempat mahupun pelawat yang berkunjung ke Balik Pulau.

“Sebelum ini, rumah kami dikenali sebagai rumah merdeka…risau selepas ini dikenali sebagai rumah COVID-19. Namun, bagi saya, penting untuk menghasilkan replika ini kerana ia tercatat dalam sejarah negara dan saya ingin ceritakan kepada cucu cicit suatu hari nanti, bagaimana perjuangan kita dan jutaan nyawa manusia telah terkorban kerana wabak berkenaan,” katanya.

Menurut Normala, beliau berharap penduduk yang terpandang replika tersebut juga sentiasa berwaspada dan menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk mencegah penularan wabak COVID-19.

Katanya, replika tersebut mengambil masa dua minggu untuk dihasilkan dengan menggunakan batang aloi, batang plastik dan pembalut plastik yang disumbangkan oleh Jabatan Penerangan (JAPEN) Pulau Pinang termasuk Jalur Gemilang. – Bernama