Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Guru, jasamu dikenang selamanya

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Kementerian Pendidikan

    Umpama berlayarnya bahtera, engkaulah kemudinya yang menuntun anak bangsa menempuhi onak dan ranjau meski penat lelah menerpa jiwa raga, namun semangatmu tidak pernah sirna demi memberikan didikan ilmu, pengalaman dan pengetahuan menjadikan siapa kita hari ini.

    Itulah yang dapat digambarkan bagi insan bergelar guru atau disebut sebagai pendidik, insan mulia diibaratkan nur yang menjadi petunjuk kepada arah kejayaan generasi penerus bangsa tanpa mengira masa, tenaga serta wang ringgit.

    Tidak kira latar kerjaya kita, sama ada seorang doktor yang berusaha merawat pesakitnya, peguam yang menegakkan keadilan, polis yang menjaga keamanan, seorang atlet yang berjuang mengharumkan nama negara, seorang usahawan yang berjaya membantu perkembangan ekonomi, atau seorang pengarang yang memaparkan coretan minda, semuanya telah dididik oleh insan-insan bernama guru.

    Mengimbau nostalgia tahun 1980an
    Pastinya dalam menjalani kerjaya sebagai pendidik itu bukanlah suatu yang mudah namun segalanya memerlukan kecekalan dan ketulusan hati serta dedikasi dalam menggenggam amanah mendidik golongan pelajar di mana pun berada.

    Waktu silih berganti, cabaran demi cabaran pasti dilalui namun segalanya mampu ditempuhi dengan jiwa raga yang terbuka demi melahirkan insan-insan yang berjaya dalam pelbagai aspek kehidupan.

    Dayang Timah mula mengajar pada tahun 1983 di Sekolah Rendah Kenua, Daerah Temburong.
    Awang Krsdinata yang mula mengajar pada 25 Mei 1984 di SMMHT sebagai guru mata pelajaran Bahasa Melayu.
    Haji Alimas yang pernah berkhidmat di salah sebuah sekolah pedalaman yang serba kekurangan namun ia tidak pernah mematahkan semangat juang beliau dan guru-guru yang lain untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran.

    “Dari segi prasarana, ianya amat berbeza dengan sekolah-sekolah pada zaman sekarang. Sekolah tersebut adalah sebuah sekolah yang kecil dibina daripada kayu namun cukup selesa dan lengkap dengan keperluan-keperluan untuk bahan pengajaran dan senang diakses kerana ia dibina dekat dengan jalan raya,” itulah antara perkongsian salah seorang mantan guru tanah air yang mula mengajar pada tahun 1983, Dayang Timah binti Ulat, yang mana tahun pertamanya bertugas ditempatkan di sebuah sekolah pedalaman di Daerah Temburong iaitu Sekolah Rendah Kenua.

    Ujarnya lagi, pada waktu itu, persediaan mengajar adalah secara manual iaitu secara bertulis di dalam buku persediaan mengajar yang telah disediakan. Guru-guru menggunakan kapur untuk menulis semua nota dan latihan pengajaran di papan hitam setiap hari. Namun pada tahun berikutnya sekolah telah diberikan mesin duplikat yang menggunakan dakwat hitam untuk mencetak bahan-bahan pengajaran. Sebelum dicetak, bahan-bahan pengajaran tersebut akan ditulis di atas kertas duplikat dengan menggunakan pen khas, kemudian dilekatkan pada mesin tersebut dan digiling mengikut jumlah yang diperlukan.

    “Cabaran utama saya ketika mengajar pada era 80an itu adalah bahasa. Ini kerana hampir semua pelajar pada waktu itu terdiri daripada mereka yang bukan berbangsa Melayu di mana Bahasa Melayu adalah bahasa kedua mereka.

    “Manakala, Bahasa Inggeris adalah bahasa ketiga. Ini amatlah mencabar apabila pada tahun 1984 sistem pendidikan berkonsepkan dwibahasa mula digunakan, di mana pelajar-pelajar harus menggunakan kedua-dua bahasa tersebut di dalam pembelajaran,” kongsinya lanjut.

    Tambahnya, namun seiring berlalunya waktu, cabaran berkenaan dapat diatasi dengan menggunakan kaedah pengajaran yang berkesan bagi pelajar-pelajar iaitu dengan reading aloud atau membaca dengan suara yang kedengaran bagi semua mata pelajaran yang diajarkan, diikuti dengan penerangan yang sangat terperinci melalui gambar-gambar yang tertera di dalam buku tersebut. Dengan cara ini pelajar-pelajar dapat membaca, mendengar dan memahami pelajaran dengan mudah.

    “Sebagai mantan guru, saya sangat menghargai dan menghormati kerjaya seorang guru kerana guru merupakan ejen pembawa perubahan kepada setiap insan.

    “Ada tiga pesanan untuk guru-guru generasi masa kini, mengajarlah dengan rajin kerana guru yang rajin pasti melahirkan pelajar yang rajin; selain fokus kepada akademik, terapkan juga nilai-nilai murni dan sahsiah kepada pelajar; dan apa yang utama juga ialah untuk sentiasa mengikhlaskan niat dalam mendidik anak bangsa kerana mereka adalah klien kita. Cintai profesion yang dipilih. Kerjalah dengan gembira dan ceria kerana di situ datangnya semangat,” katanya.

    Kekurangan tidak mematahkan semangat
    Walaupun tiada kemudahan-kemudahan moden yang canggih seperti lampu untuk menerangi bilik darjah, dan cuaca gelap adalah satu perkara yang sangat mencabar begitu juga keadaan bilik darjah yang panas dengan tiada kipas angin atau penghawa dingin namun guru masih meneruskan pengajaran dan pembelajaran seperti biasa.

    Semasa musim hujan berpanjangan, kawasan sekolah akan dinaiki oleh air sehingga membanjiri kawasan sekolah namun perkara itu tidak mematahkan semangat guru untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran mereka masing-masing.

    Begitulah antara kenangan silam yang dikongsikan oleh Haji Alimas bin Haji Mohd Ali selaku seorang pesara guru yang pernah berkhidmat sejak tahun 1986 di salah sebuah sekolah pedalaman yang serba kekurangan yang jauh berbeza dengan dunia pendidikan pada masa ini yang dilengkapi dengan kemudahan dan juga bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran.

    “Untuk menjadi guru bukanlah tugas yang mudah. Profesion perguruan adalah sangat mulia dalam proses mendidik anak bangsa kita. Seorang guru mestilah mempunyai sifat sabar, cekal, sentiasa bersemangat, bermotivasi tinggi, tidak mengira penat dan lelah. Perlu diingat seorang guru adalah role model kepada anak-anak muridnya,” ujarnya.

    Tempuhi cabaran penuh keikhlasan
    Sementara itu, mengenang kembali detik menjalani kerjaya sebagai pendidik turut dikongsikan oleh Awang Krsdinata bin Hisal yang mula mengajar pada 25 Mei 1984 di Sekolah Menengah Muda Hashim, Tutong (SMMHT) sebagai guru mata pelajaran Bahasa Melayu setelah menamatkan kursus perguruan di Maktab Perguruan Sultan Hassanal Bolkiah.

    “Tahun 1984 ketika negara kita baharu mencapai kemerdekaan, sistem pendidikan belum banyak perubahan. Namun, apa yang dapat saya kongsikan adalah pengajaran, pembelajaran dan disiplin pada zaman itu sangat bagus dan membanggakan.

    “Apa yang lebih menyenangkan adalah apabila pergaulan dan hubungan di antara warga sekolah, para pelajar serta ibu bapa adalah sangat baik dan erat,” katanya yang turut menjelaskan pada waktu itu juga pembelajaran di sekolah berkenaan terbahagi kepada dua, iaitu aliran Melayu dan Inggeris.

    Menyentuh mengenai cabaran yang pernah dialami, Awang Krsdinata menyatakan salah satu cabaran terbesar sewaktu menjalankan tugas sebagai seorang pendidik di era 80an adalah apabila beliau diperlukan untuk mengajar mata pelajaran yang bukan bidang dipelajari sewaktu menjalani kursus perguruan di mana mata pelajaran utama yang dipelajari adalah Geografi dan Sejarah namun beliau diperlukan untuk mengajarkan subjek Bahasa Melayu pada waktu itu.

    “Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu terbahagi kepada lima cabang iaitu tatabahasa, peribahasa, fahaman, karangan dan Jawi. Ini adalah sangat mencabar namun saya mengatasinya dengan belajar daripada guru-guru Bahasa Melayu yang lain. Saya juga percaya bahawa cabaran dalam pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu ini dapat diatasi dengan baik dan berjalan dengan lancar berkat kegigihan dan keikhlasan dalam mendidik anak bangsa kita,” luahnya dengan kesyukuran.

    Beliau yang kini sudah bersara sejak tahun 2017 turut mengungkapkan pesanan kepada para guru di negara ini untuk sentiasa menyemai jiwa keikhlasan dalam menjalankan tugas, cinta akan tanggungjawab sebagai pendidik, sayang akan rakan-rakan dan para pelajar serta bijak berkomunikasi dengan warga sekolah dan ibu bapa.

    “Dengan perasaan ikhlas, cinta, sayang ditambah lagi dengan pandai membawa diri, ia akan membuatkan kita tidak kenal erti penat mendidik mahu pun bosan dalam mendidik. Hadapilah segala cabaran dengan senyuman, tanamkan sifat sabar dan amanah. Inshaa-Allah segalanya akan dipermudahkan,” ucapnya di akhir pertemuan, baru-baru ini.

    Bersempena dengan Sambutan Hari Guru ke-32 Tahun, kami dari Media Permata ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada insan-insan bergelar guru atau pendidik dalam menabur ilmu dan tenaga kepada anak bangsa demi sama-sama menggapai kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat. Semoga Allah SWT sentiasa melimpahi rahmat setinggi langit dan seluas samudera atas segala pengorbanan dicurahkan selama ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...