Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Okt – Seorang guru agama warga Indonesia yang mencabuli kehormatan dua perempuan berusia 13 dan 28 tahun, mengaku bersalah di Mahkamah Perantaraan di sini, kelmarin.
Abdul Aziz, 49, didakwa mengkhianati kepercayaan yang diberi kepadanya apabila melakukan cabul terhadap anak muridnya berusia 13 tahun (mangsa X) di sebuah flat di Jalan Pandan 8, Kuala Belait pada 14 Oktober 2018 kira-kira jam 8:10 malam.
Tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak tinggal di negara ini selama 18 tahun dan bekerja sebagai guru agama yang pergi dari rumah ke rumah mengajar Al-Quran dan agama Islam.
Kejadian berlaku apabila tertuduh pergi ke kediaman mangsa X untuk mengajar mangsa dan adik-adiknya membaca Al-Quran. Ketika bersendirian dengan mangsa X, tertuduh menyuruhnya untuk membaca Doa Iftitah dan memintanya duduk membelakanginya.
Tertuduh kemudian memasukkan tangan di bawah ketiak mangsa dan melakukan perkara yang tidak senonoh. Mangsa terkejut dan menolak tangan tertuduh.
Tertuduh meminta mangsa untuk tidak memberitahu ibu bapanya mengenai kejadian itu dan mendakwa berbuat demikian atas alasan untuk mengusir penyakit kanser.
Tertuduh sekitar Mei dan Oktober 2018 di flat yang sama, turut didakwa dengan tuduhan sama, apabila sekali lagi melakukan perbuatan tidak elok pada mangsa X ketika mengajarnya.
Dia juga dituduh melakukan kesalahan sama pada mangsa Y antara Mei dan Oktober 2018 di flat sama. Mangsa Y adalah pembantu rumah untuk keluarga mangsa X.
Tertuduh mengambil kesempatan untuk mengulangi ke-salahannya itu apabila mangsa Y menyertai mangsa X dan adik-adiknya membaca Al-Quran.
Perbuatan tidak sopan tertuduh itu terbongkar pada 15 Oktober 2018 apabila mangsa X memberitahu ibunya.
Mangsa Y yang terdengar aduan mangsa X, turut memberitahu majikannya mengenai kejadian sama yang berlaku kepadanya. Laporan polis dibuat pada hari sama.
Hakim Dayangku Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail menetapkan 1 November 2018 untuk menjatuhkan hukuman dan memerintahkan tertuduh ditahan reman sehingga sebutan hukuman.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Norhafizah binti Haji Ahmad.