KOTA BELUD, 13 April – Golongan guru perlu berfikiran kelas dunia dalam mendidik modal insan yang bakal menerajui negara ke arah kemajuan yang sejahtera, berinovasi dan berdaya saing dalam pelbagai bidang di peringkat dunia.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ini selaras dengan transformasi pendidikan negara yang bertunjangkan kepada hasrat melahirkan warga glokal iaitu warga yang berakarkan nasional dan berakal antarabangsa.
“Guru perlu menanamkan keinginan dan hasrat bagi memastikan setiap murid mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional seperti yang dirangka dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
“Justeru, guru perlu sentiasa berubah dan melaksanakan tugas daripada cara biasa kepada luar biasa, berdaya tahan, futuristik dan berfikiran aras tinggi,” katanya pada satu program sempena sambutan Hari Guru peringkat Kota Belud di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambulion sini hari ini.
Salleh turut meminta golongan guru supaya meningkatkan pengetahuan semasa, khususnya berkaitan Revolusi Industri 4.0. – Bernama