Saturday, September 23, 2023
30 C
Brunei

    -

    Guru perlu hak perlindungan, kesejahteraan

    SEOUL – Selama beberapa minggu, seorang guru muda dari Korea Selatan telah dihujani dengan teks mesej dan panggilan daripada ibu bapa yang amat marah dengan cara anak-anak mereka diperlakukan. Namun, tragedi berlaku apabila dia ditemui mati di dalam bilik darjahnya.

    Kematian seorang wanita berusia 23 tahun itu, yang baru sahaja menginjak tahun kedua dalam bidang pengajaran, telah mencetuskan gelombang kesedihan dan kemarahan yang meluas, serta memicu protes beramai-ramai yang jarang berlaku, termasuk mogok, ketika guru-guru menolak keadaan kerja yang dianggap mereka tidak boleh diterima.

    Menurut pakar, penderaan fizikal oleh guru-guru telah diam-diam ditoleransi di sekolah-sekolah Korea Selatan selama beberapa dekad. Namun, pada awal tahun 2000an, negara itu memulakan usaha besar untuk menghentikan amalan tersebut, yang mencapai kemuncak dengan penggubalan undang-undang besar-besaran pada tahun 2014 mengenai penderaan terhadap kanak-kanak.

    Namun, guru-guru kini mendakwa bahawa perubahan itu telah membawa keadaan ekstrem sebaliknya. Mereka berpendapat undang-undang tersebut, bukannya melindungi murid-murid yang rentan, malah telah melucutkan perlindungan institusi dan undang-undang daripada guru-guru, serta memberikan kuasa kepada ibu bapa yang keras kepala dan membuli mereka.

    “Saya berasa tertekan dengan beban yang amat berat dan ingin melepaskan segalanya,” kata guru yang telah meninggal dunia itu dalam jurnalnya dua minggu sebelum kematiannya. Jurnal itu kemudian dikeluarkan oleh Kesatuan Guru Seoul.

    Orang ramai ketika berkabung dan melawat mezbah peringatan untuk seorang guru sekolah rendah yang meninggal dunia kerana bunuh diri di Sekolah Rendah Seoi Seoul. – AFP

    Salah satu contoh yang menyentuh hati adalah ketika seorang pelajar darjah satu melukakan seorang kanak-kanak lain dengan pensel dan selepas guru tersebut campur tangan, rekod panggilan telefon menunjukkan bahawa guru tersebut terdedah kepada panggilan dan mesej berulang, termasuk mesej pada telefon peribadi, daripada ibu bapa pelaku tersebut.

    “Saya berasa amat tertekan dan seolah-olah tidak dapat bernafas,” katanya dalam salah satu catatan terakhirnya.

    Guru-guru lain memberitahu AFP bahawa pengalaman yang sama turut dirasai oleh mereka, di mana mereka terdedah kepada perasaan marah yang tidak berkesudahan dan ancaman aduan penderaan kanak-kanak daripada ibu bapa pelajar. Mereka juga menggambarkan tekanan yang tidak berkesudahan untuk menghapuskan rekod-rekod penderaan di sekolah atau sebarang celaan yang mungkin mencemarkan peluang kanak-kanak untuk masuk universiti kelas pertama – perkara yang amat penting dalam masyarakat Korea Selatan yang amat kompetitif dan meminati pendidikan.

    Setiap hujung minggu sejak kematian guru itu pada 18 Julai, guru-guru telah berkumpul di pusat Seoul untuk memprotes – jumlahnya mencapai ratusan ribu minggu lalu dengan menuntut perlindungan yang lebih baik untuk profesion mereka dan mengakhiri buli oleh ibu bapa.

    Choi Jun-hyuk, seorang guru sekolah rendah berusia 27 tahun yang turut serta dalam rapat tersebut, memberitahu AFP bahawa pendidik-pendidik berada dalam kedudukan yang sukar. Dia pernah dilontarkan kata-kata kasar daripada salah seorang pelajar darjah tiga, namun apabila dia cuba untuk memberikan disiplin kepada kanak-kanak tersebut, dia dibalas dengan nada yang kurang ajar.

    “Saya sepatutnya mengambil tindakan mendisiplinkan kanak-kanak tersebut, tetapi rasa takut untuk dituduh sebagai pendera kanak-kanak menghantui saya, jadi saya melepaskannya,” katanya. – AFP

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...