Guru perlu jadi pemacu tranformasi

KENINGAU, 9 Julai – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sudah tiba masanya guru-guru di negeri ini melipatgandakan usaha mereka untuk menjadi pemacu kepada transformasi pendidikan di Sabah dan amnya di negara ini.

Katanya, anjakan itu amat penting memandangkan Malaysia kini sedang menuju era negara maju dimana ekonomi perlu dipacu melalui transformasi pendidikan.

“Saya mahu tema ‘Guru Pemacu Transformasi Pendidikan’ diterjemahkan oleh seluruh warga guru bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, kreatif dan inovatif.

“Guru-guru perlu menyedari perubahan ini ke arah menjadikan negara ini maju dan berpendapatan tinggi pada masa hadapan,” katanya sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Keningau 2018 di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Yin Keningau, hari ini.

Teks ucapan Mohd Shafie disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Jenifer Lasimbang di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Yin Keningau.Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis dan Pegawai Pendidikan Daerah Keningau Masly Wahip.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan khususnya melalui Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa komited untuk merancang dan melaksanakan agenda pendidikan secara holistik.

Mohd Shafie juga berkata, warga guru di negara ini merupakan insan yang sangat bertuah kerana berada dalam lapangan kerjaya cukup mulia dan sentiasa signifikan sepanjang zaman.

Justeru katanya, sambutan hari guru pada setiap tahun wajar dirayakan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa serta sumbangan para guru yang tidak ternilai harganya.

“Kita sedar, tanpa guru siapalah kita pada hari ini .. sumbangan anda (guru) sangat tinggi kepada seluruh lapisan rakyat,” katanya. – Bernama