Guru tadika dihukum mati racuni pelajar

BEIJING, 29 SEPT – Seorang guru tadika di China telah dijatuhi hukuman mati kerana meracuni puluhan kanak-kanak dalam perbuatan balas dendam ke atas sebuah kolej yang meninggalkan seorang budak maut.

Sebuah mahkamah di tengah wilayah China Henan berkata Wang Yun meletak sodium nitrit ke dalam bubur yang sedang disediakan untuk pelajar rakan sekerjanya, menyebabkan 25 orang jatuh sakit.

Serangan berlaku pada Mac 2019 dan meninggalkan seorang budak lelaki sakit tenat selama beberapa bulan sebelum dia meninggal dunia pada Januari tahun ini, menurut laporan berita.

Mahkamah Rakyat Perantara Bandar Jiaozuo berkata semalam Wang mengetahui sodium nitrit membahayakan kesihatan tetapi meneruskan perbuatannya ‘tanpa menghirau kesannya’, meninggalkan ramai kanak-kanak tidak bersalah dimasukkan di hospital.

Laporan berita pada tahun lalu berkata kanak-kanak mula muntah dan pengsan selepas memakan sarapan mereka.

Pelajar tadika di China berusia di antara tiga dan enam tahun.

Hukuman mati dijatuhkan ke atas Wang pada minggu ini atas kesalahannya menggunakan bahan berbahaya.

Sodium nitrit digunakan untuk mengawetkan daging tetapi boleh menjadi beracun apabila dimakan dalam jumlah banyak.

Wang tidak mendedahkan alasannya selepas melakukan jenayah itu dan ‘motifnya adalah sungguh keji,’ kata mahkamah.

Mahkamah menambah kata Wang dan pengurus tadika mesti membayar pampasan kepada keluarga kanak-kanak. – AFP