Thursday, October 10, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guru terima bayaran tertunggak

    MAPUTO, 10 Jan – Kementerian Pelajaran Mozambique mengumumkan pembayaran sebahagian besar bayaran lebih masa yang tertunggak selama ini, kepada guru di seluruh negara.

    Jurucakap kementerian, Manuel Simbine berkata, pembayaran itu membabitkan sejumlah 560 juta meticais (kira-kira AS$9.5 juta) daripada keseluruhan tunggakan berjumlah 700 juta meticais.

    Beliau berkata, kementerian kini dalam usaha untuk membayar baki tunggakan sebanyak 140 juta meticais.

    “Pada masa ini, kami berusaha untuk melangsaikan hutang, oleh itu mulai saat ini, kes bayaran lebih masa dapat diuruskan lebih baik. Kami sedar akan selalu ada beberapa guru melakukan kerja lebih masa jadi proses itu harus dikendalikan dengan lebih baik agar tidak berlakunya sebarang hutang terkumpul.

    “Kita mesti mempunyai kaedah kawalan berkesan mengenai siapa guru yang telah bekerja lebih masa, dan apa patut mereka terima. Ia bertujuan untuk merancang pembayaran lebih baik dan mengelak daripada membayar kepada orang yang tidak berhak menerimanya,” katanya.

    Simbine berkata, kementerian juga telah mengupah lebih 5,000 guru tambahan, kebanyakannya untuk sekolah rendah bagi menampung keperluan tahun persekolahan yang akan bermula 2 Februari.

    Kementerian meramalkan tahun ini, sebanyak tujuh juta bilangan murid sekolah rendah dan menengah, ditambah dengan penuntut latihan guru dan institusi pendidikan untuk golongan dewasa. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda