LOS ANGELES, 10 Mei – Ibu bapa di sekolah rendah di San Francisco meluahkan kemarahan selepas mendapati seorang guru yang menghidap kanser dan cuti sakit terpaksa membayar sekolah daerah itu bagi guru ganti.
Guru gred-kedua di Sekolah Rendah Glen Park itu sedang cuti sakit kerana kanser payudara bagi tahun ini dan telah membayar hampir AS$200 sehari bagi penggantinya, selaras dengan undang-undang negeri, menurut laporan berita setempat.
“Ibu bapa marah dan tidak percaya, ini tidak mungkin,” kata Amanda Fried, yang mana anak perempuannya berada dalam tadika dan seorang lagi di gred tiga, memberitahu San Francisco Chronicle.
“Mungkin ada kesilapan,” katanya.
Bagaimanapun, seorang jurucakap sekolah daerah itu memberitahu AFP bahawa pembayaran itu bukan sesuatu yang pelik dan ia sejajar dengan undang-undang negeri.
“Perkara ini bukan unik di San Francisco,” kata Laura Dudnick dalam satu kenyataan. “Ini bukan hanya undang-undang satu daerah.”
Dudnick menjelaskan bahawa guru-guru di daerah itu mendapat cuti sakit 10 hari dalam setahun dan boleh membawa cuti enam hari setahun ke setahun jika mereka tidak menggunakannya.
Setelah cuti sakit itu habis, para guru kemudian dibolehkan cuti 100 hari bagi cuti sakit, tempoh di mana mereka mendapat gaji penuh, kecuali kos bagi guru ganti.
Setelah mengetahui mengenai peraturan pendidikan di negeri itu, ibu bapa yang terkejut mula mencari dana untuk membantu guru itu bulan lepas, yang mana guru itu meminta namanya tidak didedahkan.
Kempen GoFundMe telah mengutip hampir AS$14,000 dan sebahagian kanak-kanak merancang untuk menjual roti untuk menambah dana itu. – AFP