Guru tukar kerjaya kerana COVID-19

BUGOBI, UGANDA – Ketika COVID-19 melonjak di Uganda awal tahun ini, Livingstone Musaala, terpaksa berhenti dari pekerjaannya sebagai guru setelah sekolah ditutup, beralih kepada pembuatan keranda untuk membayar hutang dan memberi bantuan kepada masyarakat.

Tetapi pada mulanya hanya sebilangan kecil menyambut baik inisiatifnya. Anggota keluarga mengkritiknya kerana mengambil kesempatan terhadap lonjakan pandemik di kampung halamannya yang padat di Bugobi, 140 kilometer timur Kampala.

“Dari semua idea perniagaan awda menjual keranda seolah-olah awda menginginkan kematian?” Musaala menceritakan persoalan yang ditanya oleh salah seorang saudaranya.

Tetapi bekas guru matematik itu menyedari dia dapat membuat dan menjual keranda dengan harga lebih rendah daripada harga mahal yang dikenakan oleh tukang kayu lain setelah permintaan melonjak berikutan kematian disebabkan COVID-19.

“Ini merupakan keputusan yang sukar tetapi orang sekarang menghargainya,” kata pemuda berusia 28 tahun itu kepada AFP, dengan penduduk Bugobi tidak perlu lagi menempuh jarak jauh untuk mencari keranda yang berpatutan.

Livingstone Musaala, seorang guru swasta di Sekolah Tadika dan Rendah Bulange, bekerja sebagai pembuat keranda di bengkel mereka di Namutumba, Uganda. – AFP
Guru sekolah rendah, Salakam Abdul (kanan) memotong kayu untuk membuat keranda. – AFP

“Semasa kemuncak wabak, kami melakukan perniagaan dengan cepat, kami menjual antara empat hingga 10 keranda setiap hari,” katanya, memperoleh antara 150,000 hingga 450,000 shilling (AS$42 hingga AS$125) setiap satu keranda.

Kejayaannya mendorong kira-kira 30 orang guru untuk menyertainya, yang kebanyakannya kecewa dan tidak berpuas hati dengan penutupan sekolah yang berterusan. Walaupun keranda telah terbukti menjadi jualan terbesar mereka, para guru juga telah mengambil pekerjaan pertukangan kayu yang lain. Ada yang sudah terlatih dalam bidang pertukangan, tetapi kebanyakan hanya belajar mengenai pekerjaan itu.

Hari ini, banyak yang mengatakan mereka tidak berniat untuk kembali ke sekolah, walaupun kelas disambung semula, sesuatu yang menjadi berita buruk bagi sistem pendidikan negara Afrika Timur.

Kehidupan di luar pengajaran

Kira-kira 15 juta pelajar tidak bersekolah sejak kerajaan mengarahkan mereka tetap berada di rumah pada bulan Mac 2020, dan para aktivis risau kadar peningkatan kehamilan remaja dan pekerja anak sebagai akibatnya.

Tanpa pendapatan yang diperoleh, beberapa sekolah ditutup secara kekal, menjenamakan semula sebagai hotel atau restoran. Yang lain gagal membayar pinjaman ketika kadar faedah meningkat, menimbulkan keraguan masa depan mereka dan menambah ketidakpastian yang dihadapi oleh guru yang tidak bekerja.

“Sekiranya saya diberi pilihan antara mengajar dan pertukangan, saya akan memilih yang pertukangan kerana ia memberikan wang tunai,” kata Godfrey Mutyaba kepada AFP ketika rakan-rakannya mencari-cari potongan kayu untuk memberikan sentuhan terakhir pada keranda. – AFP