Tuesday, October 15, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guruh Berdentuman

    GURUH sedang menyeru. Aku tahu seruan guruh itu imaginasiku. Namun aku tak mampu menolak imaginasi ini kerana aku percaya guruh sedang menyeruku. Tekstur dentumannya ada rona. Ada warna pada bunyi. Bagaimana bunyi punya warna pula? Begini. Aku gemar bermeditasi tatkala aku lengang. Dan hari ini, sesudah mentari terik menyala sepanjang hari, sehinggakan kepanasan itu membuatkan orang ramai demam teruk, gemawan hitam pula menyusul di belah petangnya.

    Sebelum hujan lebat turun, guruh terlebih dahulu bersuara. Aku, yang juga tengah demam teruk, memutuskan untuk bermeditasi. Setelah ubat yang diambil tidak memulihkan, aku mahu cuba kaedah itu. Aku akan membayangkan sakit tekakku, dan hidung berairku, serta panas yang berkumpul di dahiku terurai. Lalu aku memejamkan mataku. Ketika itu aku sudah duduk bersila di atas lantai. Aku membayangkan kekosongan dan mengamati bunyi-bunyi yang terbit di sekitarku. Aku menenangkan jasadku dan berharap tiada sebarang objek merayap ke mari dan menggigitku.

    Kekosongan yang menerpa cukup padat. Aku ternampak sejenis bulatan sungguhpun sifatnya tidak begitu jelas dek kerana ketiadaan garis, tetapi perbezaan kepadatannya yang membuatkannya ada. Guruh berdentuman, cukup puaka. Di samping menyelami kegelapan yang menyerbu itu, aku turut mengamati bunyi guruh berdentuman. Aku cuba mengamati bunyi itu dan berharap aku dapat mendengar sesuatu di sebaliknya.

    Secara teorinya, setiap bunyi punya warna. Untuk melihat warna bunyi tadi, seseorang harus memejamkan matanya seperti yang aku lakukan dan memusatkan fikiran pada bunyi yang hendak dilihat warnanya. Jika dilihat, aku seolah sedang bertapa, menyelami jiwa sendiri dan mengeluarkan sesuatu yang tersirat dalamnya. Pertama sekali, sebelum aku mampu melihat warna bunyi guruh, aku harus menenggelamkan kesakitan jasad ini terlebih dahulu.

    Fokus, fokus, fokus.

    Tekak terasa gatal pada mulanya, hidung mula berair. Namun demamku mulai kebah dan suhu pada dahi mula merebak ke serata tubuh. Aku harus memusatkan lagi perhatianku pada bahagian tekak. Aku membayangkan kegatalan tekak itu tiada. Aku mengesat hidungku yang berair dan membayangkan aliran itu terhenti. Bak pili air yang dipulas. Begitu. Dan guruh terus-menerus berteriakan umpama raksasa yang berang melihat mangsanya masih mampu melarikan diri darinya. Aku menanti bunyi rintik hujan membasahi bumi, tetapi entah mengapa, lama benar pula penantiannya.

    Dalam kegelapan yang membulat, aku cuba meneroka pula akan sifat bunyi guruh yang berdentuman itu. Aku mencari makna ataupun suatu corak yang boleh dihadam oleh kefahaman diri ini. Pada saat itulah aku mendengarnya. Suatu bunyi yang cukup samar-samar tapi jelas butiran katanya. Sungguhpun begitu, bahasa yang digunakan itu cukup aneh. Ia punya konotasi bahasa pertuturan manusia, cuma butir-butir perkataannya sahaja yang aneh. Aku tidak sekadar berhenti di situ. Aku mendalami lagi jiwaku dengan pertapaan ini dan cuba mendengar dengan teliti akan butir-butir pertuturan yang disadurkan oleh guruh tersebut. Adakah aku sudah memasuki satu alam di mana manusia tidak mengetahuinya? Adakah aku sedang mendengar satu bahasa klasik yang hanya dituturkan oleh dewa-dewa yang telah dilupakan? Andaian demi andaian berlegaran liar tanpa henti. Namun andaian-andaian tersebut tidak cukup liar sehinggakan fokusku lenyap begitu sahaja. Aku harus mengawal mindaku agar tidak ditenggelamkan oleh persoalan-persoalan yang mengaburi butir bicara tersebut dari pendengaranku.

    Aku tidak tahu berapa lama sudahnya aku berada dalam posisi ini, mencari makna perbualan di dalam dentuman guruh. Masa seolah terhenti. Kesakitan tubuhku juga seolah lenyap. Aku rasa ringan benar, seolah rohku telah dicabut dari tubuh. Dan butir-butir perbualan itu kian lantang. Dialog tersebut lebih berupa perbualan dua orang yang tidak jelas sama ada lelaki ataupun wanita.

    Suaranya aneh seolah bertimpaan. Bertindihan hingga punya elemen robotik dan hilang emosinya. Dan bibit-bibit kata itu dituturkan dengan bicara yang agak terburu-buru seolah-olah tidak mahu bunyi guruh itu terlucut topengannya. Bunyinya cukup mengkhayalkan. Dorongan ke dalam kegelapan itu dan suara-suara perbualan yang masih tidak difahami butirannya, membuatkan aku hanyut.

    Sehinggalah satu peringkat, aku tidak dapat merasa tubuhku lagi. Namun kesedaran masih bersisa. Aku tiada masalah untuk mencelikkan kelopak mata, tetapi apakah yang menantiku di balik celikan itu? Aku mula takut. Bunyi guruh sudah hilang dan bukanlah bermakna bunyi itu telah digantikan bunyi hujan yang sepatutnya menyusul. Aku dapat merasakan diriku kini betul-betul berada di hadapan sang penutur bahasa aneh tersebut. Mungkin mereka sudah menyedari aku sedang menitip dengar perbualan mereka lantas membawaku ke mari. Aku sedaya upayanya cuba menipu diriku, bahawasanya aku masih duduk di dalam bilikku. Lalu dengan keberanian yang dilandaskan pada penipuan tersebut aku celikkan mataku. Apa yang menantiku di depan mata adalah satu perkara yang aneh. Sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Ia satu landskap yang menghadirkan kekecewaan.

    Ketidakmampuan manusia menangani apa yang tidak diketahui ketara jelas di sini. Aku sudah tidak punya apa-apa. Aku tidak punya tubuh untuk digerakkan. Boleh jadi ini hanya secebis kesedaran yang terlucut terbang ke langit tinggi menghadap dewa guruh. Ah, dewa guruh. Mana mungkin ada dewa guruh? Tidak pernah aku dengar perihal dewa guruh sebelum ini. Namun apa yang aku lihat ini semestinya bukan manusia, tetapi terlalu molek ciptaannya untuk digelarkan raksasa. Rupa bentuknya terlalu indah, tetapi dek kerana keindahan itu jugalah yang membuatkan aku gerun.

    Mereka, ah, bagaimanakah harus aku meletakkannya dalam perkataan? Makhluk itu, tidak berbentuk, tetapi cukup jelas sekali butir perbualannya sungguhpun tidak dapat difahami. Cahaya yang menyelubunginya, mirip cahaya kilat yang memancar. Aku tidak tahu adakah subjek ini makhluk hidup, tetapi aku dapat lihat pergerakan dua bukaan yang seiring dengan dialog pada mereka, menandakan suara itu terbit dari dua bukaan berupa mulut tersebut.

    Aku mula dapat melihat sesuatu yang mirip mata. Mungkin imaginasiku. Aku pejamkan mata dan mengharap aku dapat kembali ke tubuhku kembali, tetapi walau bagaimana sekalipun aku pejam celikkan mata, aku tetap terperangkap dalam ruang ini. Aku tidak dapat melarikan diri. Aku mula berasa gerun. Aku tidak tahu apakah yang makhluk ini akan lakukan padaku. Ketakutan yang sirna mula membentuk sifatnya yang sempurna. Mereka akan membunuhku. Tidak, barangkali mereka akan melakukan sesuatu yang lebih teruk dari itu. Namun apakah perkara yang lebih teruk dari dibunuh tadi? Pastilah seksaan tanpa henti bak berada di neraka abadi.

    Bebola mata itu, tidak begitu jelas sifatnya. Boleh jadi juga bebola mata itu satu desakan dari mentalitiku agar meletakkan sesuatu yang manusiawi pada sifatnya yang tak berbentuk agar aku dapat menghadamnya. Kekanganku selaku manusia membuatkan mata dan bukaan berupa mulut itu terbentuk. Dan bebola mata itu sedang menyoroti pergerakanku dari atas ke bawah. Ke kanan dan ke kiri. Tidak berhenti-henti. Bunyi perbualan juga kian lantang dan diselangi dengan bunyi ‘klik’ dengan setiap sebutannya. Andai kata aku dapat membongkari isi perbualan aneh itu, aku yakin, terdapat rahsia di dalamnya yang boleh menyedarkan manusia akan kekerdilan mereka di dunia ini.

    Nyata sekali kewujudan makhluk ini, yang berselindung di balik bunyi guruh yang berdentuman itu merupakan satu tanda kekuasaan Tuhan yang tidak pernah dimengertikan skala kebesaranNya. Otak manusia begitu terhad. Kegagalan aku untuk menghuraikan apa yang aku lihat itu telah membuatkan aku terkesima dan pasrah menanti takdirku. Tidak mengetahui akan apa yang terjadi membuatkan aku berasa pening, loya dan juga dingin.

    Seolah-olah tubuh akan melayang sekali lagi, tetapi jauh ke dalam kegelapan yang lebih padat. Perbualan itu pula mula membentuk perkataan-perkataan yang jelas. Semakin lama, aku dapat merasakan aku memahaminya. Sehinggalah dua pasang mata terbentuk dan merenungku. Perbualan terhenti begitu sahaja.

    Aku cemas. Aku tidak tahu apakah yang tersirat dalam renungan dua pasang mata yang aneh tersebut. Dalam sebutir bola mata itu pula terdapat beberapa biji anak mata pelbagai saiz selaku lapisan luarnya. Manakala di balik anak mata pelbagai saiz tersebut, terdapat sebutir anak mata kemerahan bak mentari yang menenggelami saiz kesemua anak mata-anak mata tadi. Direnung sebegitu meluruhkan setiap erti kewujudanku, kerana hal itu membuatkanku sedar betapa di luar sana, adanya sejumlah besar kewujudan yang jauh lebih maju dan lebih menakutkan dari manusia.

    Kegagalan minda manusia untuk mengaitkan apa sahaja di luar sana selaku satu sistem yang berantaian mungkin suatu rahmat Tuhan yang tidak terkira nikmatnya. Dan aku pula cuba untuk mengaitkan hakikat demi hakikat itu tanpa menyedari betapa kapasiti minda manusia yang aku miliki tidak akan mampu mendepani kewujudan sebegini.
    Bersuaralah! Bersuaralah! Aku perlukan bunyi perbualan itu. Bunyi perbualan itu bermakna mereka tidak fokus padaku dan hanyut dalam perbualan tersebut. Namun makhluk itu tidak menurut kehendak hatiku. Dua pasang mata aneh tersebut terus merenungku, seolah mahu mencabut nyawaku berulang kali dengan renungan itu dan mengurungku dalam satu dunia yang tak pernah diketahui manusia sebelum ini.

    Apabila diamati, aku mendapati anak mata-anak mata kecil yang berlegaran di permukaan matanya yang dilatari anak mata merah gergasi itu, tidak ubah seperti sebelas buah planet yang dirajai bintang mentari di tengahnya kitar orbitnya. Adakah makhluk itu memberitahuku, bahawasanya alam semesta itu sendiri merupakan sejenis makhluk hidup yang punya niat dahsyat berselirat dalam susun atur pergerakan jasad samawinya? Perasaannya begitu dan aku seolah dapat melihat perkaitannya.

    Bebola matanya begitu hipnotik dan mengkhayalkan. Aku merasa diriku berapungan sebelum mengecut masuk ke dalam satu bukaan di antara dua biji bebola mata gergasi tersebut. Sungguhpun begitu, dengan setiap pergerakanku yang kian menghampirinya, aku mendapati anak mata-anak mata yang liar memerhatikanku itu masih menyoroti setiap pergerakannya.

    Ia seolah tidak mahu terlepas pandang akan daku sama sekali. Aku rasa sesak, seolah seseorang mahu menyumbat jasadku ke dalam satu ruang yang begitu kecil sekali. Itulah detiknya aku menyakini aku masih punya jasad. Aku mahu kembali ke dalam keadaan asalku. Aku mahu kembali ke dalam bilik dan bangkit dari meditasi yang sudah menyimpang jauh tersebut.

    Semakin lama, aku kian terhimpit, sehinggalah aku tidak lagi dapat merasai apa-apa. Aku hanya sebutir debu yang kian mampat dan melenyap. Dan guruh berdentuman paling lantang. Tubuhku hangat dan suhunya kian meningkat, barangkali dibakar petir. Dan kehangatan itu seolah satu portal untukku kembali ke bumi, ke dalam tubuhku yang masih duduk bersila, bertelanjangan di dalam bilikku.

    Aku mencelikkan mataku. Aku mendapati hujan sedang membasahi dengan guruh kian malap ditenggelamkan bunyi rintik hujan yang begitu lebat. Aku menggeletar, tanpa dapat berhenti. Aku mendapati aku sudah tiada kawalan ke atas jasad ini. Rebah, tidak berdaya, jasadku seolah berada di bawah kawalan sejenis kewujudan yang sukar aku jelaskan. Sesekali kepalaku akan bergerak dan melilau sekitar mencari mana-mana tali boneka yang mengawalku. Namun tiada objek seumpama itu. Tubuhku mula menggeliat dahsyat. Bunyi tulang-temulang retak mula menyusuli. Aku kian hampir dengan pintu masuk yang ternganga. Deru angin yang bertiup disulam kedinginan air hujan cukup damai.

    Sekali lagi guruh berdentuman. Sekujur tubuh muncul di tingkap, begitu gargantua. Tapak tangannya yang agam mula menerpa. Kegelapan menyelubungi. Aku menggeletar dengan lebih teruk sebelum tubuhku disambarnya. Oh, Tuhan, kenapa semua ini harus terjadi?!!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda