Saturday, January 18, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gurun plastik: Krisis pencemaran laut di Asia

    THANH HOA, Vietnam – Sebuah kawasan bakau di Vietnam terlihat dipenuhi dengan politena, seekor ikan paus mati selepas menelan beg-beg sampah di lautan Thailand dan timbunan sampah di bawah lautan berdekatan dengan pulau ‘syurga’ Indonesia, suatu imej yang memaparkan krisis plastik yang telah mencengkam bahagian Asia.

    Kira-kira lapan juta tan sisa plastik telah dibuang ke lautan dunia setiap tahun, menyamai dengan sebuah trak plastik membuang sampahnya ke laut setiap minit setiap hari.

    Lebih separuh datangnya dari lima buah negara Asia: China, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam, menurut laporan Ocean Conservancy 2015.

    Mereka adalah antara negara ekonomi yang paling pesat berkembang di Asia, di mana kebanyakan plastik dunia dihasilkan, diguna dan dibuang.

    “Kita berada dalam krisis pencemaran plastik, kita dapat melihatnya di mana-mana sahaja seperti di sungai dan juga kawasan lautan kita… kita perlu melakukan sesuatu mengenainya,” kata ahli kempen Greenpeace Indonesia, Ahmad Ashov Birry kepada AFP.

    Seorang wanita dilihat mengumpul cangkerang di hutan pantai yang ditimbuni dengan sisa plastik tersangkut pada dahan-dahannya, dibawa oleh arus pasang surut laut di wilayah Thanh Hoa, sekitar 150 kilometer selatan Hanoi. – AFP
    Salah sebuah tempat di Manila yang dipenuhi dengan sampah sarap. – AFP

    Hari Alam Sekitar Sedunia yang diadakan baru-baru ini telah menonjolkan bahayanya plastik dengan kata laluan ‘jika anda tidak dapat menggunakannya semula, lupakan dan jangan gunakan.”

    Tetapi ianya bukan sekadar isu estetik semata-mata, plastik juga membunuh kehidupan marin.

    Baru-baru ini seekor ikan paus mati di selatan Thailand dengan 80 beg plastik berada di perutnya. Begitu juga dengan kematian burung laut dan penyu yang diakibatkan oleh plastik yang terdampar di darat. Para pakar memberi ancaman bahawa ancaman paling besar mungkin sahaja tidak dapat dilihat.

    Microplastik, iaitu serpihan kecil tajam yang dapat menyerap toksin dengan mudah selepas ia pecah dari kepingan plastik yang lebih besar, telah ditemui di dalam air paip, air bawah tanah dan di dalam perut ikan di mana jutaan manusia akan memakannya di seluruh Asia setiap hari.

    Ahli saintis masih tidak memahami kesan sepenuhnya apabila memakan mikroplastik ini terhadap kesihatan.

    “Kami melakukan eksperimen global ini tanpa mengetahui ke mana arah tuju semua ini,” kata Carl Gustaf Lundin, ketua program marin dan kutub global di International Union for Conservation of Nature, kepada AFP.

    Ia telah membimbangkan nelayan warga Vietnam, Nguyen Thi Phuong, yang tinggal di kawasan perkampungan di pantai Laut China Selatan, wilayah Thanh Hoa, di mana ia kini berubah menjadi tapak pembuangan sampah secara perlahan-lahan selama bertahun-tahun lamanya.

    “Ianya tidak dapat dibendung, warga membuang sampah di sini… ia sangat tercemar untuk kanak-kanak dan tidak selamat,” katanya.

    Di hutan bakau berhampiran, jiran-jirannya kelihatan menggali melalui lumpur yang dipenuhi sampah-sarap, untuk mencari sebarang siput mahupun udang.

    Namun dahan-dahan pokok di sana telah diselimuti dengan beg-beg plastik, yang mana ditinggalkan semasa air pasang surut yang membawa sampah-sampah segar setiap hari.

    Pantai sepanjang satu kilometer itu dipenuhi dengan sandal, pembalut biskut, tiub ubat gigi, kotak-kotak jus, jaring ikan, perabot dan timbunan pakaian yang dibuang. Ada juga timbunan sampah dibakar di kawasan berdekatan.

    “Ianya sukar bagi kami untuk mencari udang dan ikan,” kata nelayan Vu Quoc Viet, yang sering mendapati sampah plastik pada jaringnya.

    Penggunaan plastik dan sisa sampah, terus melambung tinggi diikuti dengan sumber pendapatan dan pergantungan terhadap produk-produk plastik yang semakin meningkat pada hampir setiap aspek kehidupan seharian. – AFP
    Seorang lelaki menunggang basikalnya sambil melewati sisa plastik di sepanjang pantai di wilayah Thanh Hoa. – AFP

    Pengumpulan sampah adalah begitu rendah di luar bandar Vietnam seperti di tempat-tempat lain di Asia, salah satu penyebab utama mengapa plastik begitu banyak berakhir di laut, menurut Joi Danielson, pengarah program Ocean Plastics Asia di SYSTEMIQ.

    Rata-rata hanya kira-kira 40 peratus sampah dikumpulkan dengan betul di lima negara yang membuang sebahagian besar sampahnya ke lautan, dengan sedikit sumber yang didedikasikan untuk pengurusan sisa yang betul terutama dalam bandar-bandar mega yang pesat membangun.

    Tambahan pula, penggunaan plastik dan sisa sampah, terus melambung tinggi diikuti dengan sumber pendapatan dan pergantungan terhadap produk-produk plastik yang semakin meningkat pada hampir setiap aspek kehidupan seharian.

    “Anda bertarung menentang sasaran yang terus berkembang ini,” kata Danielson kepada AFP.

    Pada kadar pembuangan semasa, jumlah sampah plastik di lautan dunia dijangka meningkat dua kali ganda kepada 250 juta tan pada tahun 2025, menurut Ocean Conservancy.

    Ini bermakna terdapat lebih banyak plastik daripada ikan di lautan dunia menjelang tahun 2050 jika tiada langkah-langkah sepatutnya diambil. Pencinta alam sekitar kini melihat China untuk dijadikan sebagai contoh dalam menangani masalah ini.

    Tahun lepas ekonomi terbesar kedua di dunia itu berkata bahawa ia akan berhenti untuk mengimport barangan kitar semula Barat, enggan menjadi ‘pembuangan sampah dunia.’

    Tetapi sebahagian besar sisa buangan di China adalah berasal dari bahan tempatan dan pengutipannya masih begitu rendah di kawasan luar bandar, menurut Danielson.

    Pakar bersetuju bahawa walaupun masalah itu seolah-olah menakutkan, dengan sisa plastik sentiasa wujud di seluruh Asia, namun ia adalah krisis yang mempunyai penyelesaian.

    Kempen media sosial telah membuat seruan larangan penggunaan plastik dengan menyiarkan video yang sudah tular yang memaparkan penyelam dari Britain, Rich Horner terlihat berenang melalui timbunan sampah di luar pantai Bali dan telah membantu mencetuskan kesedaran awam.

    Pengumpulan sampah yang baik dan penggunaannya yang rendah mungkin sebagai langkah penting seterusnya.

    Ocean Conservancy juga telah meminta untuk mencipta bahan plastik dan reka bentuk produk yang baharu dan lebih banyak pelaburan diwujudkan ke dalam skim sampah-tenaga dan sampah-bahan bakar.

    Bagi Lundin, kehendak politik mungkin merupakan halangan terbesar pada masa ini.

    “Ia bukan sains roket … tidak ada tempat yang tidak dapat diperbaiki jika mereka memutuskan apa yang perlu,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda