Gusti lengan tarik perhatian

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Jenson dari Negara Brunei Darussalam muncul juara bagi Kategori Amatur dalam perlawanan gusti lengan anjuran Rock Solid Event Management and Marketing Services dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Brunei dan Persatuan Gusti Lengan Brunei di Seri Qlap Mall, Kiulap, malam tadi.

Sementara itu bagi Kategori Pro 75 Kilogram ke Bawah disandang oleh Nizar dari Malaysia, manakala Mark dari Filipina menjuarai Kategori Pro 75 Kilogram ke Atas dan juga Kategori Terbuka Lelaki Lengan Kiri.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan perlawanan akhir malam tadi sekali gus berkesudian menyampaikan hadiah dan pingat kepada para pemenang perlawanan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

Lebih 80 orang peserta telah menyertai perlawanan tersebut terdiri daripada peserta dari dalam dan luar negara yang dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Kategori Amatur, Kategori Pro 75 Kilogram ke Bawah,  Kategori 75 Kilogram ke Atas dan Kategori Terbuka Lelaki Lengan Kiri.

Awang Wardi ketika berkesudian bertanding menentang Mark dari Filipina pada malam kelmarin.