GUT rangkul Piala Ra’es

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Pasukan Guru-guru Ugama Terlatih (GUT), Jabatan Pengajian Islam menjuarai Kejohanan Futsal Piala Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang berlangsung di Dewan Serbaguna Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pasukan GUT menang (penalti) 3-1 menewaskan pasukan KUPU SB ‘B’ sekali gus menempatkannya di tempat kedua. Tempat ketiga dimenangi oleh Jabatan Pentadbiran, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Universiti Brunei Darussalam di tempat keempat.

Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyempurnakan majlis penyampaian hadiah ialah Pemangku Pendaftar KUPU SB, Adi Rani Soffian bin Abdul Rahman.

Piala Khas Pasukan Terbaik Riadah Islamiah Futsal Piala Ra’es KUPU SB diraih oleh Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan penjaring terbanyak dimenangi oleh Muhd Asri bin Haji Aspar daripada pasukan KUPU SB ‘B’ sebanyak 10 jaringan.

Kejohanan yang kali kedua dianjurkan oleh KUPU SB dan diselaraskan oleh Pusat Ilmu Teras KUPU SB bermatlamat bagi menggalakkan warga kementerian dan KUPU SB bergiat aktif dalam sukan, di samping mengeratkan silaturahim. Dalam kejohanan itu, sembilan pasukan terdiri daripada pegawai dan kakitangan KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya serta pasukan jemputan menyertai pertandingan tersebut.

Pasukan Guru-guru Ugama Terlatih (GUT) bergambar ramai selepas penyampaian hadiah.