Guterres: Utamakan kedamaian

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, 1 Jan – Setiausaha Agung baru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini menyatakan beliau akan menjadikan 2017 sebagai tahun ‘mendahulukan kedamaian,’ dalam satu perutusan menyambut tahun baru dan menandakan hari pertamanya sebagai ketua badan dunia itu.

Bekas perdana menteri Portugis yang berusia 67 itu, mengambil alih kepimpinan daripada Setiausaha Agung PBB dari Korea Selatan, Ban Ki-Moon, mewarisi krisis rumit di Syria, Selatan Sudan, Yaman, Burundi, Korea Utara dan tempat lain.

“Bagaimana kita boleh membantu berjuta-juta orang terperangkap dalam konflik, menderita teruk dalam peperangan yang tiada penghujungnya?” soal Guterres.

“Orang awam dihentam dengan kuasa kematian. Wanita, kanak-kanak dan lelaki terbunuh dan cedera, memaksa mereka lari dari kediaman, terhapus dan melarat. Tiada siapa menang peperangan-peperangan ini, semua orang kalah.”

Gambar fail: Setiausaha Agung PBB baru, Antonio Guterres. -AP
Gambar fail: Setiausaha Agung PBB baru, Antonio Guterres. -AP

Mengalu-alukan 2017, Guterres meminta dunia untuk menjadikan satu azam tahun baru bersama: Mari kita sama-sama mengutamakan kedamaian.

“Marilah kita menjadikan 2017 sebagai tahun yang mana kita semua—orang awam, kerajaan, pemimpin bekerja keras untuk mengatasi perbezaan kita.”

Pemilihan sebulat suara Guterres—yang memperjuangkan hak asasi penghijrah sebagai Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian selama sedekad—memberi semangat kepada diplomat PBB yang melihatnya sebagai seorang ahli politik berkemahiran yang mungkin dapat mengatasi perpecahan yang melumpuhkan organisasi antarabangsa itu.

“Kedamaian adalah matlamat dan panduan kita,” katanya. “Semua yang kita usahakan sebagai keluarga kemanusiaan—kehormatan dan harapan, kemajuan dan kemakmuran—bergantung kepada kedamaian.

“Namun keamanan bergantung kepada kita.” – AFP