Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Gvardiol kunci pertahanan Croatia

    DOHA, 8 DIS – Piala Dunia Qatar telah dianggap sebagai peluang terakhir buat bintang senior Croatia untuk memenangi kejohanan utama, namun pemain muda dari skuad kendalian Zlatko Dalic, Josko Gvardiol, merupakan kunci utama mereka dalam peringkat suku akhir ini.

    Ujian seterusnya buat Gvardiol adalah menyekat kemaraan barisan penyerang Brazil pada Jumaat ini.

    Pemain pertahanan berumur 20 tahun itu telah bermain setiap minit untuk Croatia dalam empat perlawanan setakat ini, mempamerkan aksi pertahanan yang bijak dalam pertembungan tanpa sebarang gol dengan Belgium dan semasa aksi sengit berdepan Jepun.

    Gvardiol telah dikaitkan dengan beberapa buah kelab besar Eropah termasuklah Real Madrid dan Manchester United, selepas kejayaan cemerlang musim lepas bersama RB Leipzig.

    Dia terus menggilap reputasinya sebagai pemain pertahanan terhebat dalam pentas terbesar bola sepak, walaupun terpaksa memakai topeng pelindung muka susulan kecederaan hidung yang dialaminya pada bulan lalu. Pemain pertahanan itu menunjukkan pelbagai aspek permainan menentang Belgium apabila pasukannya perlu mengelak kekalahan untuk mara ke pusingan kalah mati dan mengetepikan pasukan ranking kedua dunia.

    Gvardiol (kanan), menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukannya di Doha. – AP

    Gvardiol menaikkan semangat penonton dengan menggelecek bola dalam kawasan petak penaltinya sendiri, walaupun ia adalah tackle yang terakhir untuk menghalang Romelu Lukaku daripada menjaringkan gol akhir yang terbukti sangat penting.

    Tahun lepas, Gvardiol yang masih remaja telah dikritik setelah menjadi antara penyebab kekalahan 5-3 Croatia kepada Sepanyol dalam aksi Euro 2020. Namun, Dalic telah memberikan sepenuh kepercayaan kepada pemain muda itu semasa aksi Piala Dunia, sementara pemain pertahanan veteran, Domagoj Vida, yang telah muncul sebanyak 100 kali, direhatkan di bangku simpanan.

    “Josko pada masa itu masih terlalu muda. Kami meletakkan kepercayaan dan keyakinan ke atasnya. Dia bermain untuk Leipzig dan dia melakukannya dengan baik sekali,” kata Dalic.

    “Saya percaya awda tidak boleh menjadi pemain yang bagus tanpa sokongan daripada jurulatih. Dia telah membuat banyak kesilapan dan ia adalah normal. Dia akan menjadi matang. Dia akan terus membuat kesilapan tetapi untuk menjadi pemain sebenar, awda perlu mempunyai sikap untuk terus bangkit lagi dan lagi. Josko benar-benar telah mendapat keyakinan kami.”

    Gvardiol dilaporkan telah diintai rapat oleh Real dan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris, tetapi ini adalah kali pertama mutu permainannya mendapat perhatian meluas.

    Kemahirannya mengawal bola telah menarik perhatian pemerhati dan peminat sukan bola sepak.

    “Dia telah menjadi pemain pertahanan pilihan untuk saya dalam kejohanan kali ini,” kata bekas pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand.

    Gvardiol telah melupakan kesilapan yang dilakukannya semasa aksi Euro dan berterima kasih kepada pemain Croatia iaitu Luka Modric, Mateo Kovacic dan Marcelo Brozovic yang membantunya di bahagian pertahanan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...