KUCHING, 3 FEB – Forum Belia Global 2020 (GYF20) anjuran bersama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan International Co-operative Alliance (ICA) antara lain memfokuskan agar para belia melibatkan diri dalam sektor koperasi.
Forum selama lima hari bermula hari ini yang bertemakan keusahawanan koperasi itu akan membincangkan peranan dan pembangunan koperasi melalui teknologi maklumat dan media sosial, isu sosial, alam sekitar, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG2030), model perniagaan, metodologi, undang-undang, kewangan, kepimpinan, pengurusan dan modal insan, serta mewujudkan rangkaian dan jaringan strategik.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kehadiran golongan muda boleh membantu memoden dan memperkasakan koperasi menerusi penglibatan mereka dalam sektor perniagaan dan aktiviti ekonomi baharu.
“Golongan belia adalah kumpulan yang fleksibel dan kerana itu GYF20 dianjurkan bagi membolehkan para peserta menimba ilmu tentang keusahawanan koperasi dan bertukar pandangan mengenai isu-isu global,” katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian forum itu di sini, hari ini.
Forum itu dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Malaysia dipilih sebagai destinasi pertama penganjuran GYF20 ini yang berjaya menarik penyertaan seramai 250 belia dari 109 negara dan 50 daripadanya merupakan peserta Malaysia. – Bernama





























