Haaland kembali selepas kecederaan lutut

DORTMUND, 12 JUN – Bintang remaja Norway, Erling Braut Haaland dijadualkan kembali daripada kecederaan lutut dan bakal beraksi di perlawanan antara Borussia Dortmund dan Fortuna Dusseldorf esok setelah terlepas dua perlawanan terakhirnya.

“Dia telah berlatih sejak Rabu dan melakukan segalanya selama sesi latihan itu. Segala-galanya berjalan lancar untuknya,” kata jurulatih Dortmund, Lucien Favre semalam.

Haaland, 19, telah menjaringkan 10 gol dalam 11 perlawanan Bundesliga sejak ketibaannya dari Salzburg pada bulan Januari lalu.

Dia diketepikan dalam kemenangan pasukannya ke atas Paderborn dan Hertha Berlin baru-baru ini.

Dortmund yang berada di kedudukan kedua liga mengejar Bayern Munich dengan jurang tujuh mata dengan hanya tinggal empat perlawanan sahaja lagi tetapi dapat menjamin kedudukan di Liga Juara-Juara pada hujung minggu ini dengan kemenangan di Dusseldorf yang sedang bergelut. – AFP