LONDON, 1 SEPT – Erling Haaland membawa Manchester City ke puncak Liga Perdana Inggeris dengan menjaringkan gol hatrik dalam kemenangan 3-1 ke atas West Ham kelmarin.
Hatrik kedua Haaland dalam dua perlawanan berturut-turut memastikan pasukan Pep Guardiola melanjutkan permulaan sempurna mereka untuk musim baharu ini.
City telah memenangi tiga perlawanan pembukaan dalam usaha mereka untuk meraig gelaran Liga Perdana Inggeris kelima berturut-turut dan Haaland telah menjadi tenaga penggerak mereka.
Penyerang Norway itu menjaringkan gol dalam kemenangan pembukaan hujung minggu di Chelsea, mencatat hatrik dalam kemenangan besar ke atas Ipswich dan menghancurkan West Ham dengan persembahan terbaharunya yang menunjukkan ketajamannya sebagai penyudah.
Haaland telah menjaringkan 70 gol yang luar biasa dalam 69 perlawanan liga sejak menyertai City dari Borussia Dortmund.
Pemain berusia 24 tahun itu meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-10 hasil hantaran Bernardo Silva sebelum pertahanan City, Ruben Dias menjaringkan gol sendiri selepas menyambut hantaran lintang Jarrod Bowen sembilan minit kemudian.
Haaland memulihkan kelebihan City pada minit ke-30 dengan rembatan kencang ke bahagian atas jaring dari tepi kawasan penalti dan memastikan kemenangan pada minit ke-83 dengan penyudah yang baik.
Sambil memuji Haaland, Guardiola berkata “Tiada kata-kata yang dapat menggambarkannya. Apa yang boleh kami lakukan ialah membuatnya bermain lebih baik dan memberikannya sebanyak mungkin bola ke dalam kotak penalti. Itulah yang perlu kami lakukan. Kami berada di sana dan kami menambah kualiti.” – AFP