Haaland menyerlah, aksi Moukoko paling muda

BERLIN, 22 NOV – Erling Braut Haaland meledak empat gol dan Youssoufa Moukoko menjadi pemain termuda beraksi dalam sejarah Bundesliga ketika Borussia Dortmund menewaskan Hertha Berlin 5-2, awal pagi ini.

Kemenangan itu merapatkan kedudukan kepada pendahulu liga, Bayern Munich dengan perbezaan satu mata.

Buat kali pertama Haaland, 20, menjaringkan empat gol dalam perlawanan untuk Dortmund sejak penampilan pertamanya pada Januari lalu, dengan semua jaringan itu hadir pada babak kedua.

“Saya minum air pada waktu rehat semasa perlawanan, saya mempunyai tenaga dan semuanya berjalan lancar,” kata Haaland.

Penyerang Norway itu kini mere-kodkan 10 gol dalam tujuh perlawanan Bundesliga musim ini dan meledak 31 gol keseluruhan dalam 30 perlawanan dalam semua kejohanan untuk Dortmund.

Selepas Matheus Cunha memberikan Hertha gol pendahuluan separuh masa pertama di Stadium Olimpik Berlin, Dortmund kembali bangkit di babak kedua.

Haaland menyamakan kedudukan selepas menendang masuk gol hantaran Emre Can pada minit ke-47.

Dia meledak gol kedua selang dua minit kemudian diikuti hatrik pada minit ke-62 sebelum Raphael Guerreiro menjadikan kedudukan 4-1.

Cunha menyempurnakan penalti lewat permainan sebelum Haaland meledak gol keempat 10 minit sebelum tamat permainan.

Sementara itu, Moukoko yang dimasukkan bagi menggantikan Haaland mencatat sejarah tersendiri apabila sehari selepas sambutan kelahirannya, Moukoko menjadi pemain termuda beraksi di Bundesliga. – AFP

Aksi Erling Haaland (tengah) ketika menjaringkan gol ketiga buat pasukannya semasa menentang Hertha Berlin, awal pagi kelmarin. – AP