‘Haaland penyerang kelas dunia’

LEIPZIG, JERMAN, 12 SEPT – Erling Braut Haaland berjaya menjaring dua gol semalam ketika Borussia Dortmund bangkit dari ketinggalan mata sebanyak tiga kali sebelum mencatat kemenangan mendebarkan 4-3 ke atas Bayer Leverkusen.

“Anda tidak boleh mempertahankan semuanya dan Dortmund mempunyai penyerang kelas dunia,” akui jurulatih Leverkusen, Gerardo Seoane.

“Ia perlawanan yang hebat, tetapi amat mengecewakan apabila anda mendahului sebanyak tiga kali dan kemudian tewas.”

Jaringan Haaland di Leverkusen bermakna penyerang Norway sudah menjaringkan lapan gol dalam lima perlawanan buat kelab dan negara.

Haaland meledak 13 gol pada musim ini yang mana lima gol buat Norway dan lapan untuk Dortmund.

Di Leverkusen, pemain muda kebangsaan Jerman, Florian Wirtz meletakkan tuan rumah di depan, dia kemudian bergandingan dengan Patrik Schick untuk gol kedua menjadikan kedudukan 2-1 sebelum rehat selepas Haaland menanduk gol penyamaan buat Dortmund.

Haaland kemudian mencipta assist untuk gol penyamaan oleh Julian Brandt pada awal separuh masa kedua sebelum pemain sayap Leverkusen, Moussa Diaby meletakkan tuan rumah sekali lagi di depan 3-2 ketika perlawanan berbaki 35 minit.

Dortmund menyamakan kedudukan kali ketiga menerusi Raphael Guerreiro sebelum Haaland memastikan kemenangan menerusi sepakan penalti selepas menjaringkan gol ke penjuru gawang 13 minit sebelum perlawanan berakhir selepas pemain pertahanan Leverkusen, Odilon Kossounou mengasari Marco Reus.

“Saya ingin mendapatkan bola, dia mengasari saya. Itu bukan satu serangan keras, tetapi ia menyakitkan, saya jatuh. Ia adalah penalti,” kata Reus setelah VAR meninjau insiden tersebut. – AFP

Aksi Erling Haaland semasa menjaringkan gol menerusi sepakan penalti dalam perlawanan Bundesliga antara Bayer Leverkusen dan Borussia Dortmund di Leverkusen, semalam. – AP