Habuk: Turkmenistan arah pakai penutup mulut, hidung

ASHGABAT, TURKMENISTAN, 13 JULAI – Turkmenistan hari ini menyarankan penduduknya untuk memakai penutup mulut dan hidung disebabkan ‘habuk’ walaupun kerajaan itu menegaskan negara tersebut bebas koronavirus.

Pengumuman itu muncul selepas delegasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tiba di negara Asia Tengah itu minggu lalu dalam misi 10 hari bagi menilai respons terhadap pandemik.

Turkmenistan merupakan sebuah dari beberapa negara yang belum mengesahkan kes koronavirus.

Dalam kenyataan yang disiarkan oleh agensi penerangan kerajaan, kementerian kesihatan berkata orang ramai seharusnya memakai penutup mulut dan hidung disebabkan ‘habuk berketumpatan tinggi’ di udara.

Ia juga meminta penduduknya untuk mengekalkan penjarakan sosial kira-kira satu meter namun tidak memberi penjelasan.

Para pegawai juga meminta penduduk untuk tidak berdiri dekat dengan penyaman udara selepas berada lama di luar, di mana suhu musim panas biasanya mencecah 40 darjah Celsius. – AFP

Wanita Turkmenistan memakai penutup mulut dan hidung ketika berjalan di Ashgabat pada 13 Julai. – AFP