Hachimura dedah terima mesej berunsur rasis

TOKYO, 6 MEI – Pemain bintang NBA yang semakin meningkat dari Jepun, Rui Hachimura berkata dia menerima pesanan berunsur rasis ‘hampir setiap hari’, ketika ketegangan memuncak mengenai kecaman rasis ditujukan kepada atlet-atlet ternama melalui laman maya.

Pengakuan tersebut dibuat selepas Liga Perdana Inggeris di England mengetuai boikot media sosial sebagai bantahan terhadap serangan rasis yang dialami oleh pemain bola sepak termasuk Marcus Rashford dan Reece James.

Hachimura, 23, penyerang untuk pasukan NBA, Washington Wizards, memberi komen selepas adiknya – pemain bola keranjang di universiti Jepun – mendedahkan melalui Twitter mesej mengganggu diterimanya.

“Ada yang mengatakan tiada sikap rasis di Jepun,” tulis Aren Hachimura, 21, berserta imej yang ditujukan dalam bahasa Jepun berunsurkan hinaan dan kematian.

“Tetapi saya mahu semua orang mengambil perhatian kepada isu rasis, meskipun saya tidak merasakan mendedahkan (mesej dihantar oleh pengirim) di sini akan menyelesaikan masalah,” kata adik Hachimura pada awal minggu ini.

Gambar fail aksi Rui Hachimura ketika bermain menentang Pacers, baru-baru ini. Hachimura berkata dia menerima pesanan berunsur rasis ‘hampir setiap hari’. – AP

Rui Hachimura, yang mempunyai hampir 200,000 orang pengikut di Twitter dan dipilih sebagai senarai Pemain Bintang Meningkat NBA pada Mac, membalas, “Saya terima mesej seperti ini hampir setiap hari.”

Adik-beradik Hachimura, yang bapa mereka berbangsa Benin dan ibunya kelahiran Jepun, merupakan sebahagian bintang sukan yang mula bersuara.

Bulan lalu, juara luncur Olimpik Amerika Syarikat (AS), Chloe Kim berkata dia menerima kecaman rasis di media sosial setiap hari ketika kebangkitan keganasan anti-Asia di AS.

Dan bekas bintang Arsenal dan Perancis, Thierry Henry meninggalkan media sosial pada Mac selepas berkata dia sudah serik tiada tindakan diambil untuk menangani kecaman rasis.

Kelab Liga Perdana Inggeris dan pemain-pemainnya tidak menggunakan media sosial pada hujung minggu, tetapi penyerang Manchester City, Raheem Sterling menerima kecaman rasis di Instagram kurang 48 jam selepas boikot berakhir. – AFP