Sunday, April 21, 2024
25 C
Brunei

    -

    Had harga gas berkuat kuasa di Sepanyol, Portugal

    MADRID, 15 JUN – Had yang disokong Kesatuan Eropah (EU) ke atas harga gas asli yang digunakan oleh loji janakuasa di Sepanyol dan Portugal berkuat kuasa kelmarin bagi mengurangkan harga elektrik yang meningkat di kedua-dua buah negara.

    Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah menyebabkan harga gas meningkat, menaikkan bil elektrik yang sudah melambung tinggi di kedua-dua negara yang mempunyai sambungan elektrik yang terhad dengan seluruh Eropah.

    Minggu lalu, Suruhanjaya Eropah bersetuju untuk mengehadkan gas yang digunakan untuk penjanaan kuasa pada 40 euro setiap megawatt sejam, dengan had harga diunjurkan kepada purata 50 euro dalam tempoh 12 bulan akan datang.

    Ia dikuatkuasakan sehingga 31 Mei 2023. Kerajaan Sepanyol meramalkan langkah tersebut akan membawa kepada pengurangan harga tenaga isi rumah sehingga 20 peratus. Sementara itu, Menteri Tenaga Sepanyol, Teresa Ribera berkata, had itu akan ‘melindungi’ isi rumah Sepanyol dan Portugal dalam pasaran tenaga yang ‘bergelora dan rumit’ akibat perang di Ukraine.

    Kos tenaga telah meningkat secara mendadak dalam beberapa bulan kebelakangan ini di Sepanyol dan Portugal disebabkan peraturan pasaran elektrik Eropah, yang memaksa pengeluar untuk menjual produk tenaga mereka pada harga teknologi paling mahal.

    Selama berbulan-bulan, Madrid dan Lisbon telah berjuang menentang sistem ini, yang dianggap tidak sesuai dengan keadaan tenaga di Semenanjung Iberia yang mempunyai sejumlah besar kuasa boleh diperbaharui.

    Manakala itu, beberapa buah negara Eropah turut menentang langkah reformasi berkenaan, mengatakan mereka bimbang kesan terhadap persaingan dalam Kesatuan Eropah. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...