Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Had kapasiti pusat penjagaan ditingkatkan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Pusat penjagaan kanak-kanak di seluruh negara telah dibenarkan untuk beroperasi semula secara berperingkat-peringkat menurut kadar yang memenuhi nasihat dan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Awal Endemik dalam Rangka Kerja Pemulihan COVID-19 bermula 17 Januari lalu.

    Dalam pada itu, dengan berdasarkan kepada nasihat Jawatankuasa Pandu COVID-19, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) memaklumkan mengenai peralihan syarat kemasukan mengikut umur dan kapasiti bagi pusat-pusat penjagaan kanak-kanak dalam mana, kanak-kanak yang berumur satu tahun ke atas adalah dibenarkan dengan kadar 80 peratus kapasiti.

    Kebenaran untuk beroperasi pada had kapasiti itu akan bermula pada 10 Februari nanti, jelas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dalam kenyataannya semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

    “Walau bagaimanapun kebenaran ini adalah tertakluk kepada kesediaan pusat masing-masing dengan perhubungan bersama pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM),” tambah Yang Berhormat Dato.

    “Sepertimana garis panduan yang sedia ada, kanak-kanak, ibu bapa dan para petugas termasuk petugas bantuan masih dikehendaki untuk menjalani ujian saringan COVID-19 menggunakan ART seminggu sekali,” tekannya.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menghadiri sidang media tersebut. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

    Walau bagaimanapun, mereka dibolehkan untuk melaksanakan ujian saringan berkenaan di rumah bermula 10 Februari nanti, iaitu selaras dengan kenyataan Yang Berhormat Menteri Pendidikan pada 5 Februari lalu bagi pelajar-pelajar sekolah tadika.

    Beliau menyatakan lagi bahawa proses dan tatacara pelaksanaan dan proses laporan ujian kendiri ART itu akan dimaklumkan kepada para ibu bapa dan kanak-kanak oleh pusat penjagaan kanak-kanak masing-masing.

    Sehubungan dengan itu, adalah diingatkan bahawa garis panduan serta SOP lain yang sedia ada adalah dikekalkan bagi menjaga keselamatan kanak-kanak, ibu bapa dan para petugas pusat penjagaan kanak-kanak seperti pemasangan HEPA filter, pemakaian PPE separa bagi petugas, pemakaian pelitup muka bagi kanak-kanak dan aktiviti yang dihadkan kepada penjagaan sahaja.

    KKBS melalui JAPEM akan sentiasa memantau pusat-pusat berkenaan dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

    Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa setakat hari ini, seramai 247 kanak-kanak telah didaftarkan secara keseluruhan di pusat-pusat penjagaan kanak-kanak di seluruh negara.

    Daripada 46 pusat yang terdaftar, sebanyak 25 pusat penjagaan kanak-kanak sedang beroperasi pada ketika ini dan hasil pemantauan ke atas pusat-pusat penjagaan kanak-kanak, turut didapati semua adalah negatif dalam ujian ART yang dilaksanakan.

    Pihak KKBS merakamkan penghargaan kepada para ibu bapa, penjaga dan khususnya warga pusat-pusat penjagaan kanak-kanak atas kerjasama yang telah diberikan dalam mematuhi SOP dan garis panduan sejak pembukaan semula kemudahan di bawah Fasa Awal Endemik sehingga sekarang.

    “Kerjasama dalam mematuhi SOP dan garis panduan hendaklah terus dikekalkan dalam kita menghindari risiko jangkitan COVID-19,” tambahnya.

    Untuk maklumat lanjut, orang ramai bolehlah merujuk kepada garis panduan yang terperinci yang telah disediakan oleh KKBS dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan dengan melayari laman sesawang www.kkbs.gov.bn atau www.jpm.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...