Had pelabuhan: Malaysia, Singapura selesai isu maritim

PUTRAJAYA, 14 Mac – Malaysia dan Singapura akan melaksanakan lima cadangan berkuat kuasa hari ini (14 Mac) untuk menyelesaikan isu-isu maritim berhubung had pelabuhan kedua-dua negara.

Cadangan-cadangan itu digariskan dalam satu kenyataan bersama Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatnya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan, yang dikeluarkan selepas mengadakan pertemuan mengenai isu-isu dua hala di Wisma Putra di sini hari ini.

“Langkah-langkah yang diambil kedua-dua negara ini adalah tanpa prejudis kepada tuntutan sempadan maritim oleh Malaysia dan Singapura di kawasan itu,” menurut kenyataan itu.

Cadangan-cadangan itu termasuk Malaysia dan Singapura saling bersetuju untuk menggantung pelaksanaan had sempadan yang bertindih dan menggunakan had sempadan yang berkuat kuasa masing-masing sebelum 25 Oktober 2018 dan 6 Disember 2018.

Menurut kenyataan itu lagi, Malaysia dan Singapura tidak boleh membenarkan dan hendaklah menggantung semua kegiatan komersial di kawasan itu.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (kanan) bersalaman dengan rakan sejawatnya dari Singapura Vivian Balakrishnan (kiri) semasa sidang media bersama di Wisma Putra kelmarin. – Bernama

Kedua-kedua menteri luar juga, menurut kenyataan itu, bersetuju agar kedua-dua Malaysia dan Singapura tidak melabuhkan kapal-kapal kerajaan di kawasan itu.

Menurut kenyataan bersama itu, kapal-kapal Malaysia dan Singapura yang beroperasi dalam kawasan itu hendaklah mematuhi undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Bangsa-bangsa Bersatu tentang Undang-undang Laut (UNCLOS).

“Agensi-agensi berkaitan dari kedua-dua pihak akan mengusahakan modaliti yang praktikal bagi mengelak kejadian yang tidak diingini di kawasan itu,” katanya.

Ia berkata Malaysia dan Singapura juga bersetuju untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa untuk persempadanan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura Chee Wee Kiong.

Menurut kenyataan itu, jawatankuasa itu akan memastikan pelaksanaan empat cadangan yang pertama dalam tempoh satu bulan dan perundingan mengenai persempadanan maritim di kawasan itu bermula dalam tempoh satu bulan selepas pelaksanaannya itu. – Bernama