Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Had yuran pengambilan pekerja tidak lebih $2,000

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui Jabatan Buruh telah menguatkuasakan penetapan had yuran perkhidmatan bagi pengambilan pekerja domestik pada kadar tidak melebihi $2,000.

    Sehubungan itu, KHEDN memaklumkan semua agensi pekerjaan yang berdaftar di Jabatan Buruh pada masa ini yang menawarkan perkhidmatan pengambilan setiap pekerja asing domestik pada kadar yuran melebihi $2,000 dikehendaki untuk mendaftarkan semula Lesen Agensi Pekerjaan mereka ke Jabatan Buruh bermula 24 Januari sehingga 20 Februari depan.

    Manakala bagi agensi-agensi pekerjaan yang sebelum ini telah menawarkan had yuran perkhidmatan bagi pengambilan pekerja domestik pada kadar $1,500 bagi seorang pekerja asing masih dikekalkan.

    Dengan berkuat kuasanya perlaksanaan had kadar yuran perkhidmatan bagi pengambilan pekerja domestik itu, mana-mana agensi pekerjaan yang tidak mendaftarkan semula Lesen Agensi Pekerjaan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka lesen mereka akan dibatalkan dan tidak dibenarkan untuk membuat sebarang urusan pengambilan pekerja domestik.

    Di bawah Bab 32(c), Perintah Agensi Pekerjaan 2004, mana-mana pemegang lesen yang gagal mematuhi sebarang peruntukan lesen atau sebarang syarat lesen boleh didakwa di mahkamah.

    Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi $2,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya dikenakan suatu denda tidak melebihi $5,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

    Orang ramai disarankan untuk melaporkan ke Jabatan Buruh jika mendapati mana-mana agensi pekerjaan yang mengenakan yuran perkhidmatan bagi pengambilan pekerja domestik melebihi daripada had yang telah ditetapkan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...