Hadapi COVID-19 dengan segala usaha

Oleh Awang Osman Abu Bakar

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Berikutan situasi wabak COVID-19 pada setakat ini dijangkakan akan terus berlaku berdasarkan penularannya di peringkat global masih belum dapat dikawal.

Namun, adalah sangat penting bagi kita semua dan di mana jua negara untuk mengambil langkah berhati-hati dan mengawal sebaik mungkin jangkitannya serta mestilah dihadapi dengan segala usaha dan langkah untuk mencegahnya sekaligus membanterasnya.

Perkara tersebut ditekankan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, di dalam ceramah khas Yang Berhormat Pehin bertajuk ‘Apa Kata Mufti Tentang COVID-19 (siri ke-2)’ yang disiarkan melalui radio dan televisyen Brunei pada hari ini.

Walaupun sudah berlalu hampir empat bulan, namun sehingga kini, jelas Yang Berhormat Pehin dunia masih saja belum lagi menemui ubatnya.

Katanya, ada pihak yang sudah berusaha atau sedang mencuba atau ingin mencuba untuk menghasilkan ubat itu, tetapi belum ada satupun yang diketahui berjaya malah menggunakan alat-alat tertentu sahaja untuk mengelak jangkitan dengan memakai Personal Protection Equipment (PPE) bagi para petugas yang melakukan kerja-kerja saringan, pengambilan sampel dan merawat pesakit. Sementara rawatan bagi pesakit lebih tertumpu kepada meredakan tanda-tanda jangkitan.

Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz ketika dalam ceramah khas bertajuk ‘Apa Kata Mufti Tentang COVID-19 (siri ke-2)’.

Setakat yang mampu dibuat masa ini, katanya lagi kita dikehendaki untuk melindungi diri dengan menjaga kebersihan, seperti menutup mulut dan hidung dengan tisu ketika batuk atau bersin, kerap mencuci tangan dengan menggunakan gel pembasmi kuman atau sabun, digalakkan memakai topeng muka, melakukan penjarakan sosial dan lain-lain sebagai ikhtiar fizikal.

“Kita orang Islam, janganlah hilang punca dan kita juga perlu buat apa yang dunia buat, tetapi dalam pada itu, kita juga mesti faham bahawa apa saja perkara, terjadinya adalah daripada Allah, termasuk penyakit. Dia yang mendatangkan, dan Dia juga yang menarik balik.

“Ubat hanyalah sebab, memang kita disuruh berubat, tetapi penyembuh, sebenar-benar penyembuh itu adalah Allah,” tegas Yang Berhormat Pehin.

Kita menangani wabak ini, seperti juga orang lain menanganinya, iaitu dengan mengambil langkah-langkah pencegahan dan perawatan secara fizikal, tetapi katanya, raja kita berpendapat, ini saja belum dianggap memadai, melainkan, kita juga mesti komited kepada pertolongan Allah iaitu dengan membanyakkan doa.

“Betul. Ini memang tepat sekali, bahawa kita mesti balik juga kepada Allah. Mengadu kepadaNya. Kalau meminta, kita minta kepadaNya.

“Kalau hendakkan pertolongan, mintalah pertolongan itu kepadaNya, sebagaimana ikrar kita dalam Surah Al-Fatihah ayat 5 dan 6, (tafsirnya): “Hanya Engkau sahaja (Ya Allah) yang kami sembah dan hanya kepadaMu jua kami memohon pertolongan.

“Khususnya dalam situasi kita menghadapi COVID-19 ini, tidakkah patut bagi kita mendongak banyak-banyak ke langit berdoa untuk memohon belas kasihan Allah?” tegas Yang Berhormat Pehin.

Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, turut sama-sama menyediakan beberapa doa, zikir dan beberapa ayat Al-Quran untuk dibaca, sambil memasang niat kepada Allah, semoga dengan membaca doa dan zikir serta ayat-ayat ini, Allah akan kabulkan hajat kita untuk menolak wabak COVID-19.

Doa-doa dan zikir-zikir serta ayat-ayat itu, jelasnya lagi senghaja dipilih yang mudah-mudah sahaja supaya senang dicerna.

Doa-doa, zikir-zikir serta ayat-ayat yang dimaksudkan itu ada termuat di dalam buku terbitan terbaharu Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri bertajuk ‘COVID-19: Apa Kata Mufti?’.

Buku tersebut juga adalah adaptasi daripada ceramah khas Yang Berhormat Pehin bertajuk ‘Apa Kata Mufti Tentang COVID-19 (Siri Pertama)’ yang telah disiarkan di Radio dan Televisyen Brunei (RTB) pada 27 Mac, yang lalu, dibukukan dengan dibahagikan kepada tiga bab iaitu bab 1 bertajuk ‘Masyarakat Bertanya Mufti Menjawab’, bab 2 bertajuk ‘COVID-19 Menurut Pandangan Islam’, dan bab 3 iaitu tambahan khas bagi ceramah tersebut bertajuk ‘Zikir Menghadapi Pelbagai Bencana dan Wabak’.