Saturday, April 20, 2024
25 C
Brunei

    -

    Hadiah: boleh menjadi rasuah

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Pada kebiasaan, hadiah diberikan kepada seseorang adalah bertujuan untuk menghormati atau memuliakan orang itu dan bukan ada tujuan-tujuan yang lain. Sebagai contoh, hadiah yang diberikan biasanya oleh kebanyakan orang sempena hari-hari tertentu iaitu seperti hari raya, hari lahir, hari guru, hari ibu bapa dan sebagainya.

    Akan tetapi, adakalanya berlaku seseorang memberi hadiah kepada seseorang yang lain bukan pada adat kebiasaan untuk menghormati atau memuliakan orang itu.

    Sebaliknya dia memberi hadiah itu disebabkan terdapat tujuan yang tertentu iaitu supaya orang yang diberi hadiah itu dapat menunaikan hajatnya.

    Sebagai contoh pemberian hadiah seorang kakitangan, pegawai kerajaan, pegawai swasta atau orang awam kepada orang tertentu yang mempunyai kaitan dalam urusan-urusan tertentu sama ada melepaskan daripada kesalahan ataupun meluluskan permohonan dan sebagainya, adakah pemberian seperti ini dikira sebagai hadiah?

    Definisi rasuah dan hadiah

    Definisi rasuah

    Rasuah dalam bahasa Arab disebut sebagai ar-risywah atau ar-rasywah yang bermaksud sesuatu penyambung yang dapat menyampaikan tujuan dengan harta sogokan.

    Definisi ini diambil dari asal kata rasuah iaitu ar-rasya yang bererti tali timba yang dipergunakan untuk mengambil air di perigi.

    Dalam kitab Lisan al-‘Arab rasuah bererti menghubungkan dua orang kepada suatu hajat dengan cara mengambil hati.

    Dari segi istilah rasuah bermaksud sesuatu yang diberikan untuk menyalahkan yang benar atau membenarkan yang sudah jelas salah.

    Rasuah dalam bahasa Arab disebut sebagai ar-risywah atau ar-rasywah yang bermaksud sesuatu penyambung yang dapat menyampaikan tujuan dengan harta sogokan.

    Definisi hadiah

    Hadiah ialah pemberian tanpa mengharapkan balasan dan bermaksud sebagai penghargaan atau pujian (ke atasnya).

    Menurut kamus al-fiqhi hadiah ialah memberikan kuasa pemilikan sesuatu tanpa mengharapkan sebarang gantian atau pertukaran (‘iwadh) sebagai penghargaan.

    Dari definisi itu dapatlah difahamkan bahawa pemberian hadiah adalah sebagai penghargaan atau pujian kepada seseorang tanpa ada sebarang maksud atau tujuan untuk menyampaikan sebarang hajat.

    Namun jika hadiah itu terselit maksud untuk menyampaikan hajat maka hukum hadiah itu akan berubah menjadi rasuah.

    Dalam kitab al-Ahkam as-Sulthaniah perbezaan antara rasuah dengan hadiah itu ialah rasuah merupakan sesuatu yang diambil dengan meminta, dan hadiah pula merupakan sesuatu yang diberi dengan kebajikan.

    Maka hadiah dengan niat untuk memuliakan orang yang diberi dan bertujuan untuk mengeratkan lagi kasih sayang adalah halal bagi pemberi dan penerima.

    Manakala hadiah dengan niat minta disampaikan hajat maka pemberian itu dianggap sebagai rasuah yang haram.

    Maksud ‘suapan’ menurut akta pencegahan rasuah

    Rasuah bermaksud suapan menurut akta pencegahan rasuah tahun 1981.

    Maka apa jua bentuk hadiah dari seseorang yang mempunyai hajat adalah dikira sebagai suapan.

    Antara huraian maksud suapan yang berbentuk hadiah dalam akta pencegahan rasuah itu ialah:

    Wang atau apa jua pemberian, pinjaman, upah, ganjaran, cagaran, berharga atau benda-benda lain atau kepentingan dalam harta-benda jenis apa pun jua, sama ada boleh digerak atau tidak boleh digerak;

    Sebarang balasan yang berharga jenis apa pun jua, sebarang potongan harga, komisen, pengurangan, bonus, penolakan atau habuan;

    Sebarang bantuan, sokongan, persetujuan atau pengaruh, atau bantuan, sokongan, persetujuan atau pengaruh yang dibuat-buat, dan sebarang janji bagi atau perolehan, atau persetujuan atau percubaan untuk memperolehi, atau memberikan sebarang harapan akan memperolehi, sebarang pemberian, pinjaman, upah, ganjaran, balasan atau suapan dalam bidang makna perenggan ini;

    Apa jua layanan, pertolongan atau faedah jenis apa pun jua, termasuk perlindungan dari sebarang hukuman atau kehilangan keupayaan yang dilakukan atau ditakuti atau dari sebarang tindakan atau perbicaraan jenis yang mengenai tatatertib atau hukuman, sama ada sudah atau belum dimulakan, dan termasuk menjalankan atau menahan diri dari menjalankan sebarang hak atau sebarang kuasa atau kewajipan resmi.

    Imam an-Nawawi Rahimahullahu ta‘ala menyebutkan dalam kitab al-Majmu‘ bahawa tidak boleh seseorang menerima hadiah yang diberikan kepadanya bukan secara adat kebiasaan.

    Inilah yang dimaksudkan oleh Rasullulah dalam sebuah hadits ketika memerintahkan seorang sahabat menguruskan zakat sepertimana diceritakan oleh Abu Humaid As Sa’idi r.a. yang maksudnya:

    Nabi Shallallahu ‘Alaihi wassalam melantik seorang laki-laki dari Bani Asad yang dikatakan (bernama) Ibn Utabiyyah (sebagai pegawai petugas) sedekah (zakat), maka ketika dia datang (dari tugasnya), dia datang (menghadap Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) lalu berkata: “Ini untuk kamu dan ini dihadiahkan untukku.”

    Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam (pun) berdiri di atas mimbar, Sufyan (Ibn Uyainah) juga berkata: “Maka Baginda naik atas mimbar lalu mengucap alhamdullilah dan memuji Allah.”

    Kemudian baginda bersabda (lagi): “Apakah gerangan petugas yang kami utus itu, kami mengutusnya lalu dia datang (kepada kami) dan berkata: Ini untuk Tuan dan ini dihadiahkan untukku.

    Tidakkah sebaiknya dia duduk saja di rumah ayahnya dan ibunya lalu menunggu adakah dia diberi hadiah atau tidak.”

    Demi zat dimana jiwaku berada di tanganNya, tidaklah dia (petugas itu) datang dengan (membawa)nya di Hari Kiamat, dimana dia membawanya pada batang lehernya dengan rupa unta yang melenguh, lembu yang menguak atau kambing yang mengembek (dengan suara yang kuat).

    Kemudian Baginda mengangkat kedua tangan Baginda hingga kami melihat putih ketiak Baginda (ketika Baginda bersabda): “Tidakkah aku telah menyampaikan (peringatan ini) sebanyak tiga kali.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Hadis ini menerangkan bahawa apapun hadiah yang diberikan kepada seorang pekerja atau ketua kerana rasa terima kasih adalah haram. Tambahan lagi daripada harta hak orang-orang Islam.

    Perkara seperti ini perlu diambil perhatian kerana ditakuti akan menjatuhkan seseorang kepada amalan rasuah. Oleh itu perlu difahami perbezaan di antara hadiah dengan rasuah.

    Hadiah Ratu Saba’ (Balqis) kepada Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam yang berbentuk rasuah

    Hadiah adalah sesuatu pemberian yang bermaksud untuk memuliakan orang yang diberi, akan tetapi ada kalanya juga memberi hadiah itu sebenarnya merupakan rasuah apabila pemberian hadiah itu bertujuan untuk menyampaikan sebarang hajat.

    Dalam makna yang lain perbuatan rasuah itu ditutupi dengan perbuatan hadiah sehingga perbuatan rasuah itu tidak ketara berlaku atau tidak nampak sebagai rasuah.

    Pemberian hadiah berupa rasuah ini sudah berlaku pada zaman Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam ketika Baginda menyeru Ratu Saba’ (Balqis) dan kaumnya yang menyembah matahari untuk mengesakan Allah sebagaimana tersebut di dalam al-Qur’an.

    Setelah Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam mendengar perkhabaran daripada burung hud-hud mengenai kesesatan Ratu Saba’ (Balqis) itu, lalu Baginda mengutus surat melalui burung hud-hud tadi kepada Ratu Saba’ (Balqis) serta kaumnya untuk mengesakan dan mentauhidkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana tercatat dalam al-Qur’an, Allah Ta‘ala berfirman yang tafsirnya:

    Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah). (Surah an-Naml: 30-31)

    Apabila Ratu Saba’ (Balqis) menerima surat itu, Ratu Saba’ (Balqis) mengumpulkan ketua, wazir dan pembesar-pembesar negara untuk mengumumkan perihal yang berlaku serta meminta pandangan daripada mereka.

    Setelah itu Ratu Saba’ (Balqis) mengambil keputusan untuk berdamai dan mengutus utusannya dengan membawa hadiah kepada Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam.

    Namun Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam tidak menerima hadiah yang dibawa oleh utusan Ratu Saba’ (Balqis) itu, malah mengancam untuk menghantar bala tenteranya jika mereka tidak mahu beriman. Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya:

    Tafsirnya: “Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang menghadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): “Tidaklah patut kamu menghulurkan kepadaku pemberian harta benda, kerana apa yang telah diberikan oleh Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan harta kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu. Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak akan terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba’ dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan.” (Surah an-Naml: 36-37)

    Demikianlah kisah ringkas bagaimana Ratu Saba’ (Balqis) cuba memberi rasuah dengan berupa hadiah kepada Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam agar Baginda mahu berdamai dengannya. Namun Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam tidak menerima hadiah tersebut malahan Baginda mengancam Ratu Saba’ (Balqis) untuk memerangi mereka jika tidak mahu beriman.

    Malah Baginda juga memuji-muji akan pemberian Allah yang jauh lebih baik daripada hadiah yang mereka tawarkan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...