Hadiah kelahiran ulang tahun satu abad

BRUSSELS, 30 APRIL – Seorang wanita di Belgium yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya ke-100, disahkan pulih daripada COVID-19.

Julia Dewild, dibenarkan keluar dari Hospital Bois de l’Abbaye di timur negara itu, empat hari selepas mencapai usia seabad. Menariknya, wanita itu dilahirkan ketika pandemik Selesema Sepanyol antara 1918-1920, yang didakwa menjangkiti satu pertiga penduduk dunia.

Beliau akan kembali ke rumah penjagaan orang tua dan dilaporkan tidak sabar untuk bertemu dengan ahli keluarganya. Kelmarin, kakitangan hospital mengambil peluang untuk meraikan berita baik apabila wanita itu dibenarkan keluar dari hospital.

Jururawat Laura Bertrand berkata Dewilde yang sudah sembuh daripada COVID-19 adalah kejayaan terbesar hospital itu. Seperti kebanyakan warga emas lain yang dijangkiti COVID-19, Dewild mengalami kesukaran bernafas pada pertengahan April dan dimasukkan ke hospital.

Dia juga mengalami jangkitan bakteria dan memerlukan rawatan antibiotik.

Selain itu, dia diberi oksigen untuk mengurangkan masalah pernafasannya. Bagaimanapun, Dewild tidak pernah dirawat di unit rawatan rapi. Selepas 19 hari menjalani rawatan, dia beransur-ansur pulih dan akhirnya dia disahkan negatif virus itu.

Setakat ini, Belgium merekodkan 47,859 kes positif COVID-19 dengan 7,501 kematian. – AFP