Sunday, June 4, 2023
27 C
Brunei

    -

    Hadiah rekaan sendiri erat silaturahim

    Oleh Amri HTZ
    Gambar oleh Baker519

    Mereka sesuatu untuk dijadikan hadiah mungkin bukan perkara yang mudah untuk dilaksanakan namun ia mampu menunjukkan inisiatif seseorang dalam mempertahankan silaturahim.

    Hadiah sedemikian akan lebih dihargai oleh penerimanya walaupun sesebuah rekaan itu tidak sesempurna barangan yang boleh didapatkan di pasaran. Berbekalkan kreativiti tersendiri, pelbagai barangan boleh dijadikan sumber rekaan seperti kertas, plastik, besi mahupun kayu untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

    Antara barang diperlukan

    Projek ini akan mereka menara jam mini yang diperbuat daripada kayu untuk dijadikan hadiah kenang-kenangan. Untuk merekanya, beberapa barangan diperlukan seperti kepingan papan, ketam kayu, pita pengukur, mesin pemotong kayu, mesin router, alat pengukir (Dremel), pensel, vernier caliper, gam kayu, alat pengepit kayu, mekanisme jam, papan lapis, cat pelindung kayu dan cat sembur (warna pilihan).

    Mula langkah pembuatan

    Sebagai langkah pertama pembuatan, papan lapis tersedia yang akan dijadikan penutup bahagian belakang rekaan terlebih dahulu dipotong dengan ukuran yang diperlukan.

    Bentuk keseluruhan bahagian penutup ini ialah trapezium di mana bahagian bawah lebih besar daripada bahagian atas. Bahagian atas bentuk tersebut akan mempunyai panjang 6 inci manakala bahagian bawahnya pula berukuran 7½ inci dengan tinggi 12½ inci.

    Bahagian belakang rekaan yang ditutup menggunakan papan lapis.
    Potongan kayu yang telah diukir dengan bentuk abjad mengikut nama penerima hadiah.
    Rangka rekaan untuk bahagian depan dan belakang yang telah dicantumkan.

    Struktur rekaan yang terbuat daripada bahagian depan, sisi dan atas.
    Proses memotong kayu untuk bahagian kaki rekaan yang salah satu bahagian mempunyai bentuk condong.

    Ukur dan tandakan permukaan papan lapis sebelum memotongnya menggunakan mesin pemotong kayu atau gergaji. Penggunaan mesin pemotong kayu jenis circular merupakan langkah yang mudah untuk memotongkan kayu namun memerlukan awda mempunyai tangan yang stabil bagi melakukannya secara bebas. Selain itu, menggunakan sesuatu alat yang berbentuk lurus sebagai panduan juga boleh membantu bagi mendapatkan potongan yang rata.

    Sementara bagi awda yang menggunakan gergaji secara manual akan memerlukan awda untuk membersihkan permukaan potongan yang tidak rata menggunakan ketam kayu atau kertas pasir. Ini bagi memastikan potongan kayu yang dicantumkan nanti tidak mempunyai rongga yang terlalu ketara sekali gus menjadikan rekaan tampak kurang profesional.

    Manakala bagi bahagian rangka utama, ia memerlukan awda untuk memotong kayu dengan ukuran 12½ inci panjang dan lebar 1¾ inci empat batang, 4 inci x 4 inci (dua keping) dan 4 inci x 1½ inci (enam batang). Kesemua kayu rangka untuk bahagian depan dan belakang ini akan mempunyai ketebalan ½ inci.

    Mesin pemotong kayu jenis meja akan digunakan untuk langkah pemotongan mempercepat dan mempermudah proses rekaan. Bagi memastikan potongan rata untuk setiap bahagian yang mempunyai ukuran yang sama, rip fence perlu dimanfaatkan dalam langkah ini. Sebelum memulakan pemotongan, pastikan bilah mesin ditetapkan dalam keadaan 90 darjah daripada permukaan utama meja mesin.

    Empat batang kayu rangka bahagian depan dan belakang berukuran 12½ inci panjang dan lebar 1¾ inci yang akan dijadikan kaki utama perlu dipotong salah satu bahagian sisinya mencondong sementara mengekalkan kedudukan 90 darjah untuk sudut sisi yang satu lagi.

    Salah satu bahagian akan mempunyai lebar 1 inci, manakala bahagian hujung yang satu lagi dikekalkan dengan lebar 1¾ inci. Dengan langkah ini awda boleh menandakan kedudukan 1 inci dari bahagian hujung dan menandakan kedudukannya dengan melakar garisan menuju bahagian hujung kayu yang satu lagi.

    Manakala untuk bahagian sisi rangka rekaan, kayu dengan lebar 4 inci dan panjang 12 10/16 inci dengan tebal ½ inci diperlukan untuk dua keping. Ini diikuti dengan kayu bahagian atas yang mempunyai ukuran panjang 8 2/8 inci dan lebar 4 inci dengan tebal ½ inci yang hanya diperlukan sekeping.

    Mana-mana permukaan kayu yang tidak rata selepas proses pemotongan bolehlah diratakan menggunakan mesin ketam kayu. Pada kebiasaannya hal sedemikian berlaku disebabkan kedudukan kayu yang tidak rata pada awalnya kemudian dipotong terus menggunakan mesin pemotong kayu. Selain itu, permukaan tidak rata juga boleh terhasil daripada bilah mesin yang tumpul sekali gus menjadikan permukaan potongan menunjukkan kesan terbakar akibat gesekan dan tidak rata (sesetengahnya menghasilkan serpihan tajam).

    Selain mesin ketam, bagi permukaan yang hanya mempunyai sedikit kekurangan, akan diratakan dan dihaluskan menggunakan kertas pasir. Gunakan kertas pasir berukuran 120 grit untuk melakukannya diikuti dengan 400 grit sebagai langkah untuk menghaluskan permukaan yang kasar dihasilkan kertas pasir sebelumnya.

    Apabila keseluruhan bahagian telah tersedia, awda boleh memulakan proses mencantumkan keseluruhan bahagian. Mulakan langkah pada bahagian rangka depan dengan kedua-dua bahagian kaki, tiga kayu untuk bahagian rangka tengah dan dua keping kayu 4 inci x 4 inci di antara kayu rangka bahagian tengah. Kayu 4 inci x 4 inci pada bahagian atas akan ditempatkan dengan mekanisme jam oleh itu awda perlu menebuk bahagian tengahnya untuk membolehkan jarum jam ditempatkan.

    Manakala kayu 4 inci x 4 inci yang satu lagi akan diukir permukaannya dengan abjad mengikut nama seseorang yang bakal menerima rekaan tersebut. Mengukir abjad pada permukaan kayu memerlukan awda melakar atau melekatkan templat pada permukaan kayu diikuti melorek permukaan menggunakan mesin router dengan straight bit atau menggunakan alat Dremel. Dalam memastikan rekaan abjad menyerlah, ia akan diwarnakan dengan warna yang berlainan daripada kayu.

    Caranya cukup mudah, semburkan permukaan depan kayu dengan cat pilihan kemudian biarkan ia mengering sebelum menggosokkannya menggunakan kertas pasir berukuran 180 grit. Memandangkan bentuk abjad yang diukir tidak pada permukaan yang sama rata dengan permukaan utama, langkah menggosokkan kayu tersebut akan mengekalkan warna cat pada abjad tersebut.

    Setelah semua bahagian dicantumkan menggunakan gam kayu, awda boleh memasang kayu bahagian belakang menggunakan skru. Tujuan utama kayu penutup itu hanya dikekalkan menggunakan skru bagi membolehkan awda mengakses bahagian dalaman rekaan untuk menukarkan bateri jam yang sudah rosak.

    Langkah terakhir ialah melindungi keseluruhan permukaan kayu menggunakan wood finish pilihan. Salah satu cat yang boleh digunakan ialah jenis varnis, memandangkan ia mampu mengekalkan permukaan asal kayu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Kerja menyelamat kemalangan kereta api korbankan lebih 300 orang ditamatkan

    BALASORE, 4 JUN - Selepas kerja menyelamat selesai, pihak berkuasa mula membersihkan serpihan dua kereta api penumpang yang tergelincir di timur India, membunuh lebih...
    - Advertisment -