Hadiah utama Kempen Barakah 8 milik Dayang Norlaili

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Tuah memang menyebelahi Dayang Norlaili binti Abidin apabila pilihan nombornya merupakan nombor yang bertuah dan berjaya untuk membawa pulang hadiah utama, Kempen Barakah 8 Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), iaitu pakej Umrah bernilai $25,000, hari ini.

Seramai 15 orang pelanggan bertuah BIBD dipilih untuk menyertai acara penyampaian hadiah utama Kempen Barakah 8 BIBD yang berlangsung di Cawangan Kiulap BIBD di mana acara akhir itu dibahagikan kepada tiga pusingan dan setiap peserta akhir kempen itu membawa pulang hadiah menarik termasuk iPhone X dan pembesar suara B&O BeoPlay A1.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah utama kepada para pemenang bertuah ialah Ketua Perbankan Runcit BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar. Turut menghadiri acara itu ialah peserta-peserta acara akhir, ahli keluarga dan pegawai serta kakitangan BIBD.

Hadiah bagi para pemenang pusingan pertama dan kedua bagi acara akhir itu disampaikan oleh Ketua Jualan dan Aliran Alternatif BIBD, Hajah Rohani binti Haji Mohd Salleh di mana pemenang pusingan pertama membawa pulang pembesar suara B&O BeoPlay A1 dan pemenang pusingan kedua membawa pulang hadiah iPhoneX.

Dayang Norlaili yang berusia 51 tahun, tidak menyangka bahawa nombor yang dipilihnya dalam pusingan akhir acara itu merupakan pilihan bertuah dan membawa pulang hadiah utama.

Sepanjang tempoh kempen berkenaan, pelanggan BIBD berpeluang untuk memenangi hadiah bulanan dan secara automatik dimasukkan ke dalam cabutan utama di mana mereka berpeluang untuk memenangi hadiah pakej Umrah atau pakej bercuti di Eropah bernilai $25,000 serta hadiah-hadiah menarik yang lain.

Hajah Nurul Akmar bergambar ramai bersama semua pemenang bertuah pada majlis berkenaan.