Hadkan jemputan kenduri kahwin, majlis kesyukuran

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Orang ramai yang ingin mengadakan majlis kenduri kecil-kecilan atau majlis Doa Kesyukuran selepas akad nikah, diminta mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dengan mengehadkan jumlah orang yang hadir antara 20 hingga 30 orang mengikut kesesuaian saiz rumah masing-masing.

Pengehadan hadirin itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini. Menurutnya lagi, majlis seumpamanya boleh dilaksanakan dengan mematuhi garis panduan sama bagi ziarah Hari Raya Aidilfitri yang dikeluarkan kementerian itu. Namun jemputan hendaklah daripada kalangan ahli keluarga yang dibenarkan dan dikenali oleh pihak yang menganjur serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan Kementerian Kesihatan.

“Pernikahan masa ini dibuat di Pejabat Mahkamah di daerah masing-masing. Jadi selepas itu, jika mereka ingin membuat kenduri kecil-kecilan untuk keluarga terdekat, itu dibolehkan sama juga dengan jumlah hadirin terdiri daripada 20 ke 30 orang mengikut kesesuaian rumah masing-masing,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

“Mereka yang ingin mengadakannya perlu berpandukan garis panduan Hari Raya Aidilfitri, namun diingatkan bahawa perlu dijaga dan dipastikan bahawa semua jemputan yang dijemput adalah yang dikenali, dan mereka yang tidak sihat (demam) adalah dilarang untuk keluar rumah (bagi menghadiri majlis berkenaan),” tambahnya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manaf bin Othman.