Hadkan kenaikan suhu global

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Walaupun Negara Brunei Darussalam hanya menyumbang kira-kira 0.017 peratus jumlah pengeluaran gas rumah hijau global, tetapi negara harus memainkan peranannya serta melakukan semua yang terdaya untuk mengehadkan kenaikan suhu global kepada 1.5 darjah Celsius menjelang 2100.

Brunei juga harus bekerjasama dengan negara-negara lain di dunia untuk memenangi perlumbaan menentang perubahan iklim, jelas Setiausaha Tetap (Tenaga), Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian (MEMI), Haji Azhar bin Haji Yahya ketika berucap di Perasmian Bengkel Jawatankuasa Pendrafan Dasar Iklim (CPDC) yang berlangsung di Bangunan ILIA, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

Beliau menambah bahawa sebagai sebuah ekonomi minyak dan gas, adalah amat penting bagi kita untuk menghalakan ekonomi ke arah laluan rendah karbon dengan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau kita.

Dengan kadar pengeluaran gas rumah hijau per kapita yang tertinggi di ASEAN, Brunei mempunyai banyak peluang untuk mengurangkan pengeluarannya dan oleh itu, kita harus merebut peluang itu dan mengembangkannya.

Terdahulu ketika mengulas mengenai kesan daripada perubahan iklim, Haji Azhar menyatakan bahawa baru-baru ini, pada malam 30 September lalu, Brunei telah mengalami kejadian hujan lebat yang telah memecahkan rekod kadar hujan harian tertinggi di Brunei iaitu sebanyak 275mm berbanding catatan rekod terdahulu iaitu sebanyak 252mm pada September 1983.

Haji Azhar ketika menyampaikan ucapannya di Perasmian Bengkel Jawatankuasa Pendrafan Dasar Iklim (CPDC), kelmarin.
Antara peserta yang menyertai Bengkel Jawatankuasa Pendrafan Dasar Iklim (CPDC) yang berlangsung di Bangunan ILIA, Universiti Brunei Darussalam, kelmarin.

Kejadian hujan selama tiga jam itu, jelasnya, telah menyebabkan ratusan buah rumah di Daerah Brunei dan Muara mengalami kejadian banjir kilat. Manakala itu, beliau juga menyatakan pada 3 September lalu, Jabatan Kajicuaca, juga telah mencatatkan suhu maksimum tertinggi bagi 2019 iaitu 36.9 darjah Celsius.

Trend peningkatan suhu maksimum tertinggi tahunan juga disaksikan di Brunei, di mana empat hari lalu, kebakaran hutan telah berlaku yang memusnahkan kawasan hutan tanah gambut seluas 15 hektar di Seria di mana cuaca tinggi itu mungkin memainkan peranan.

Beliau berkata bahawa mungkin sesetengah orang akan menyatakan bahawa kejadian berkenaan merupakan kejadian alam semula jadi tetapi bukti saintifik baru-baru ini, mendapati bahawa kejadian cuaca ekstrem itu dijadikan lebih buruk oleh perubahan iklim di mana ia menjadi lebih agresif, lebih kerap dan sukar untuk diramal bukan sahaja untuk Brunei tetapi juga di negara-negara di seluruh dunia.

Kejadian itu juga dijangka akan menjadi lebih kuat apabila suhu global meningkat melebihi tahap 1.5 darjah Celsius de-ngan Intergovermental Panel on Climate Change memberikan amaran bahawa ia mungkin berlaku seawal-awalnya menjelang 2030.

Beliau menekankan bahawa perubahan iklim merupakan sebuah krisis kelangsungan dan sebagai sebuah negara kecil, tahap pendedahan dan kerentanan kepada risiko iklim adalah tinggi.

Dalam hubungan itu, Dasar Iklim Kebangsaan Brunei bermatlamat untuk menggariskan peluang-peluang bagi mitigasi iklim dan langkah adaptasi yang akan membawa kepada pertumbuhan karbon rendah serta pada masa yang sama, menjadikan Brunei sebagai sebuah negara berdaya tahan iklim.

Rangka kerja dasar itu, jelas Haji Azhar diharap akan menjana dasar iklim yang sesuai dan jelas bagi pelbagai pihak di mana perubahan iklim merupakan cabaran kebangsaan di mana isu-isu berkaitan dengannya merentas pelbagai sektor yang memerlukan pendekatan seluruh negara.

Ke arah itu, dasar berkenaan akan menyediakan hala tuju jangka panjang kepada pihak berkuasa kerajaan, membimbing sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta memberikan isyarat kepada pasaran.

Dasar Iklim Kebangsaan Brunei akan menjadi peralatan strategik negara yang akan menerajui komitmen Brunei ke arah menangani cabaran global perubahan iklim.

Menyentuh mengenai de-ngan bengkel berkenaan, Haji Azhar berkata bahawa ia mengumpulkan lebih daripada 35 pemain berbeza meliputi wakil kerajaan, sektor swasta, institusi, NGO dan persatuan sebagai ahli jawatankuasa pendrafan yang akan menggubal Dasar Iklim Kebangsaan Brunei di mana mereka harus terlibat sama untuk menggubal dasar yang akan melibatkan setiap peringkat masyarakat dari segi strategi dan pendekatan supaya ia akan menjana kesan riak yang akan membawa kepada perubahan pemikiran.

Turut hadir semasa bengkel berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Perindustrian), MEMI, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa Elektrik), MEMI, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra; Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kebajikan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Ajman bin Haji Meludin serta lebih 54 orang wakil daripada sektor kerajaan, sektor swasta dan NGO.

Bengkel dua hari itu merupakan permulaan siri mesyuarat untuk mendraf lelaran dasar-dasar berkenaan di mana perbincangan akan menumpukan kepada membangunkan strategi-strategi baharu bagi dasar perubahan iklim yang akan datang, pertukaran data penyelidikan di antara peserta serta meningkatkan kesedaran mengenai ancaman perubahan iklim ke atas Brunei.

Ia juga memberikan penekanan kepada sasaran negara yang dicadangkan oleh Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS) untuk memastikan pengurangan pengeluaran gas rumah hijau Brunei selaras dengan Perjanjian Paris menerusi langkah-langkah adaptasi dan mitigasi iklim menggunakan lima strategi utama.

Menerusi bengkel itu, CPDC berharap untuk menilai dan mengenal pasti trend global, serantau dan negara supaya dapat menggubal dasar yang akan memberikan impak signifikan kepada Brunei dalam perubahan global.