Hadkan usia pemandu warga emas

Isu usia pemandu warga emas pernah disuarakan melalui ruangan ini tidak lama dulu dan mungkin juga di media-media sosial yang lain.

Hal ini sepatutnya perlu diambil berat oleh pihak tertentu bagi memastikan kemalangan jalan raya berkurangan dan demi menjaga keselamatan para pemandu di negara ini khususnya golongan warga emas.

Memang tidak salah memandu kereta selagi memiliki kudrat. Namun dengan kekurangan upaya penglihatan dan ingatan dalam kalangan warga emas ini bukan sahaja boleh membahayakan dirinya sendiri, malah orang lain. Segelintir warga emas juga mudah mengalami kesakitan sehinggakan ada yang hilang kawalan semasa memandu.

Sebagaimana baru-baru ini, saya bertemu dengan seorang pemandu warga emas meluru masuk di depan laluan saya tanpa memikirkan jarak yang selamat untuk memasukinya. Mujurlah ketika itu saya memandu secara perlahan dan selamat untuk memberhentikan kereta secara mengejut tanpa adanya kereta lain di belakang saya. Saya menyangkakan pemandu warga emas itu kurang awas cermin sisi kereta dan mengalami kekurangan upaya penglihatan.

Apa yang cuba saya suarakan di sini ialah pihak berkuasa perlu mewujudkan syarat-syarat bagi pemandu-pemandu warga emas dan mengehadkan usia untuk memperbaharui lesen memandu mereka.

Sebelum mereka mendapatkan kebenaran memperbaharui lesen memandu, mungkin mereka perlu melakukan pemeriksaan kesihatan khususnya pemeriksaan penglihatan dan pendengaran.

Namun sebaiknya pada pendapat saya, mungkin boleh hentikan dahulu pembaharuan lesen memandu warga emas yang pernah dilaporkan mengundang bahaya kepada diri mereka sendiri atau secara tidak langsung membahayakan pemandu lain. Pihak berkuasa juga perlu memperketatkan syarat-syarat bagi pemandu warga emas demi kebaikan dan keselamatan semua pemandu.

Sama-sama Beringat

Sesetengah warga emas mudah mengalami kesakitan sehinggakan ada yang hilang kawalan semasa memandu. – Gambar hiasan