Hael Husaini belum berani berlakon

Penyanyi dan komposer, Hael Husaini belum berani mengikut jejak langkah rakan seperjuangan terjun ke bidang lakonan demi meneruskan kelangsungan hidup pada saat pandemik COVID 19.

Biarpun persembahan pentas secara terbuka belum dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pemenang kategori Artis Kolaborasi/Duo/ Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 bersama Dayang Nurfaizah itu belum bersedia mengambil risiko.

“Saya akui ramai yang terjejas teruk berikutan rutin kerja kebiasaan tidak dapat dilakukan. Saya turut terjejas selepas tawaran persembahan dibatalkan dan ditunda.

“Agak pahit menelan semua ini, namun apa daya, saya tak mampu melawan ketentuan ini.

Saya bernasib baik masih memiliki tuntutan kerja lain seperti menghasilkan karya untuk penyanyi lain, selain meneruskan kempen jenama dan produk dalam media sosial termasuk iklan komersial.

Hael Husaini belum berani mengikut jejak langkah rakan seperjuangan terjun ke bidang lakonan. – Agensi

“Saat ini, saya belum terlintas mahu berlakon. Saya tak pandai dan kekok berlakon di depan kamera. Saya juga mempunyai masalah menghafal skrip. Jika skrip pendek pun terkial-kial, apatah lagi yang panjang berjela. Namun, mungkin sekarang saya belum bersedia, tak tahulah pada masa akan datang,” katanya kepada media.

Dalam perkembangan lain, Hael kini rancak mempromosikan single Lara bersama Haqiem Rusli dan Naim Daniel.

Single Lara ciptaannya bersama dua penyanyi berkenaan serta komposer, MFMF.

“Idea menghasilkan lagu ini tercetus ketika saya berada di Jakarta, Indonesia sewaktu mengendalikan program Stariser bersama penyanyi, Chakra Khan.

“Saya mendapat beberapa ilham baharu sepanjang berada di Jakarta. Saya terus menghubungi MFMF, setiba di Malaysia. Kami berbincang dan terus menghasilkan karya,” kata penyanyi lagu Jampi itu.

Katanya, proses menghasilkan single Lara mengambil masa kira-kira tiga bulan.

“Saya minta Naim dan Haqiem untuk membuat pengubahsuaian dan menjana idea selepas rangka awal disiapkan. Proses rakaman audio dan video dilakukan ketika PKPB dilaksanakan.

“Bekerjasama dengan Haqiem dan Naim sangat mudah kerana mereka antara rakan industri yang agak rapat dengan saya. Kami juga mengenali satu sama lain secara peribadi, jadi proses ini berjalan lancar.

“Segala-galanya bermula dengan borak kosong kerana kami sering ditemukan dalam program atau acara sama. Saya pernah terdetik mahu mengajak Naim dan Haqiem untuk berkolaborasi jika ada peluang,” katanya. – Agensi