Hael tak sunyi hidup membujang

Penyanyi dan komposer popular, Hael Husaini, 33, mengaku dia tidak pernah berasa sunyi, meskipun masih hidup membujang.

Malah, apa yang lebih bermakna baginya kini adalah setiap karya lagu ‘bertema’ dihasilkannya mendapat penerimaaan baik peminat dan pendengar muzik tanah air.

Ditambah, hasrat Hael mendedikasikan lagu baharu berjudul Bujang kepada golongan lelaki dan wanita yang belum bertemu jodoh nampaknya memberi hasil positif.

Selain video muziknya mencatat lebih 454,000 tontonan di YouTube dalam tempoh tiga minggu, lagu Bujang juga kini semakin mendaki carta lagu popular hujung minggu di stesen  radio.

Hael berkata setiap lelaki atau wanita berstatus bujang tetap ada keinginan untuk bertemu jodoh mereka dan seterusnya membina kehidupan berkeluarga.

Hael Husaini, mengaku dia tidak pernah berasa sunyi hidup membujang. – Agensi

“Saya pun ada impian ke arah itu (dipertemukan jodoh).

Apatah lagi, usia makin meningkat dan pada masa sama gembira melihat rakan-rakan yang sudah mempunyai keluarga sendiri.

“Cuma, soal jodoh ketentuan Allah. Saya hanya mampu berdoa semoga ada rezeki. Apapun, saya tidak pernah tertekan memikirkan jodoh,” katanya.

Penyanyi lagu Jampi dan Hajat ini meminta peminat terus mendoakan yang baik-baik buatnya dan semoga dia bertemu jodoh.

“Alhamdulillah, saya tak sunyi walaupun masih solo. Cuma, tak dinafikan pernah juga terdetik alangkah seronoknya jika berkahwin pada usia sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, Hael yang pernah merakamkan lagu duet berjudul Haram dan Hari Ini bersama penyanyi Dayang Nurfaizah, hebat dipalit gosip percintaan.

Hingga, mereka juga didakwa merancang bertunang baru-baru ini, walaupun khabar angin itu membuat Hael tergamam ketika mengetahuinya. – Agensi