Hafidz Roshdi ketepikan watak hero

Tidak mahu terus terikat dengan watak-watak baik dan lelaki romantik, aktor Hafidz Roshdi mula mencari kelainan dalam lakonannya.

Menurut Hafidz, yang mula dikenali menerusi drama Tundukkan Playboy Itu, sudah tiba masanya dengan mencuba karakter yang lebih pelbagai dalam usaha untuk memberi lebih cabaran dalam diri. Membuktikan kata-kata tersebut, aktor berusia 27 tahun itu buat pertama kalinya tampil membawakan watak antagonis bernama Firas dalam drama terbaharu, Perisik Cinta Tak Diundang (PCTD).

“Saya sebenarnya sudah lama tunggu karakter sebegini kerana sebelum ini seringkali diberikan watak lelaki baik, romantis atau hero yang serba sempurna.

“Jadi sudah tiba masanya saya mencuba sesuatu yang lain dan PCTD memberikan peluang itu menerusi watak Firas yang psiko dan panas baran.

“Satu pengalaman baharu buat saya, selain cabaran yang sangat berbeza daripada apa yang pernah saya buat dalam drama-drama lakonan sebelum ini,” ujarnya yang ditemui pada sidang media maya drama tersebut baru-baru ini.

Tidak mahu terus terikat dengan watak-watak baik dan lelaki romantik, aktor Hafidz Roshdi mula mencari kelainan dalam lakonannya. – Agensi

Tidak hanya itu, Hafidz mengakui semenjak akhir-akhir ini banyak mengambil watak pelakon pembantu kerana kelainan watak yang ditawarkan berbanding pelakon utama.

“Saya sudah melalui zaman jadi hero dan faham situasinya macam mana. Kalau asyik jadi hero sahaja, memang susah nak pelbagaikan watak kerana kebanyakan karakter yang diberikan lebih kurang sama.

“Bila berpeluang jadi hero kedua atau pelakon pembantu, saya jadi lebih seronok. Dapat buat macam-macam karakter yang secara tidak langsung membuka ruang untuk saya mempelbagaikan gaya lakonan.

“Memang tidak mudah, tetapi kita akan rasa lebih puas bila dapat buat benda baharu untuk disajikan kepada penonton,” jelas Hafidz yang sebelum ini turut memberanikan diri berlakon watak komedi menerusi sitcom Sitkom Bujang Tampan Selamba. – Agensi