Hafiz Hamidun kenang kesusahan sebelum bergelar jutawan

Bergelar jutawan bukanlah alasan untuk penyanyi Hafiz Hamidun ‘goyang kaki’, dia tetap perlu bekerja keras untuk mencapai kejayaannya kini.

Menurut Hafiz atau Mohammad Hafiz Hamidun, 36, selain melalui fasa jatuh bangun dalam perniagaan dia juga perlu melunaskan pelbagai komitmen.

“Saya tak nafikan tapi bukanlah untuk berbangga. Saya rendah diri sebab saya pun masih bekerja. Kalau orang kata jutawan yang tak payah kerja, saya pun kalau boleh nak macam itu.

“Tapi saya tetap kena kerja juga setiap hari, saya ada waktu jatuh dan bangun. Saya bukan hanya buat muzik saja, tapi saya ada buat pelaburan dan saya juga ada beli hartanah.

“Lagipun saya berniaga dan ada tanggungjawab, kena fikir tentang kakitangan, bayar zakat dan cukai. Bukan nak kata kita ni kaya raya,” kata Hafiz.

Hafiz mendedahkan dia pernah melalui fasa kesusahan ketika awal pembabitannya dalam bidang seni sekitar 2004 hingga 2005. – Agensi

Hafiz ditemui ketika sidang media pelancaran lagu Sabda Kekasih baru-baru ini.

Dalam pada itu, Hafiz mendedahkan dia pernah melalui fasa kesusahan ketika awal pembabitannya dalam bidang seni sekitar 2004 hingga 2005.

“Saya sudah lalui fasa kesusahan sebelum ini. Masa awal pembabitan saya dalam bidang seni, saya pernah la hanya tinggal RM1 dalam dompet dan ketika itu saya nak pergi rumah kakak dekat Cheras.

“Tapi nak kena lalu tol yang RM1.10… duit tak cukup ini sebab memang tinggal betul-betul seringgit. Saya ambil keputusan pergi kedai, beli mi segera yang harga RM0.80 dan balik rumah, makan itu saja sambil tengok TV.

“Menitis juga air mata saya waktu itu. Pernah juga kereta yang saya baru beli tapi lepas itu tak ada duit nak bayar. Waktu itu hanya ada duit untuk makan saja. Dua bulan tak bayar, terus kena tarik.

“Sebab itu, saya bekerja keras untuk capai kehidupan sekarang ini. Saya memahami keadaan generasi muda yang berdepan masalah kewangan tapi apa yang penting, kena rajin berusaha,” ujarnya. – Agensi