Hafiz Hamidun kumpul dana salur bantuan

Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu, penyanyi Hafiz Hamidun (gambar bawah) mendedahkan hampir setiap hari menerima mesej peribadi yang meminta bantuan di Instagram. Menurut Hafiz atau nama sebenarnya Mohammad Hafiz Hamidun, 36, dia hanya mampu membantu mengikut kemampuannya dan berharap orang ramai turut serta memberi sumbangan.

Kata penyanyi lagu Belum Termiliki ini, mana-mana pihak yang sudi menyumbang berbentuk wang secara ikhlas boleh dilakukan menerusi akaun peribadinya.

“Sejak PKP bermula, hampir setiap hari ramai yang DM saya minta tolong, bantu untuk meneruskan kehidupan. Mana yang boleh saya bantu, saya bantu. Tapi saya tak mampu buat sendiri.

“Saya pun tak nak bersangka macam-macam, sekadar bantu mana yang mampu. Kalau anda semua nak tolong sama, seringgit dua seikhlasnya, anda boleh beri sumbangan menerusi akaun saya.

“Jadi, saya boleh berikan sumbangan yang terkumpul itu kepada yang memerlukannya,” kata Hafiz. Bekas suami kepada usahawan kosmetik Joy Revfa itu memuat naik perkongsian tersebut menerusi laman Instastory miliknya.

Berikutan krisis penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan PKP, banyak sektor ekonomi terjejas menyebabkan ramai rakyat terpaksa memohon bantuan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Dalam pada itu, Hafiz mengajak orang ramai menghulurkan bantuan tanpa mempunyai perasaan prejudis terhadap usaha murninya tersebut.

“Insya-Allah, mari tolong golongan memerlukan. Tak perlu ada prasangka. Kalau tak mahu bantu, hanya abaikan sahaja ya. Ampun maaf daripada saya,” ujarnya. – Agensi