Hafiz harap dapat bangun semula dari kekecewaan

KUALA LUMPUR, 9 JULAI – Pelumba Moto2 Malaysia dari pasukan Aspar, Hafizh Syahrin Abdullah berharap, untuk bangun semula dan menebus kekecewaannya, dengan menyasarkan mencatatkan keputusan cemerlang di GP Sepanyol pada 17-19 Julai.

Hafizh Syahrin yang kembali ke Moto2 musim ini selepas melalui dua tahun yang mengecewakan dalam kelas Premier, menyasarkan untuk menduduki lima terbaik dalam perlumbaan di Sirkit Jerez.

Bekas pelumba Monster Yamaha Tech 3 dan Red Bull KTM Tech 3 berusia 26 tahun itu berkata, beliau telah belajar banyak daripada perlumbaan terakhir di Qatar di mana beliau menduduki tempat ke-19.

“Kalau boleh memang nak dapat kedudukan lima terbaik atau sekurang-kurangnya meraih mata. Ia lebih baik daripada tanpa sebarang mata, sebab saya gagal kutip mata di perlumbaan pertama.

“Banyak perkara saya telah belajar dari perlumbaan di Qatar dan saya akan cuba ingat mana yang boleh, selain memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya kepada media hari ini.

Hafizh berlepas ke Sepanyol awal pagi tadi, selepas mendapat pelepasan khas dan kebenaran masuk ke negara itu berikutan penetapan Kesatuan Eropah yang hanya membenarkan rakyat daripada 15 negara, untuk memasuki kesatuan tersebut, dan Malaysia tidak tersenarai. – Bernama