Hafizan juara pertandingan memancing

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 16 Dis – Awang Mohd Hafizan bin Roslin muncul sebagai pemenang dalam pertandingan memancing melalui Program Pesta Xplorasi Kampung Penabai Kuala Tutong selepas berjaya menangkap ikan seberat 11.9kg di Pantai Kampung Penabai Kuala Tutong, hari ini.

Hadir pada majlis tersebut dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya.

Pemenang telah berjaya menerima hadiah wang tunai sejumlah $600.

Lebih kurang 200 peserta telah menyertai pertandingan tersebut, di mana ia merupakan salah satu aktiviti bagi Program Pesta Xplorasi anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Penabai Kuala Tutong, hari ini.

Selain pertandingan memancing, pesta tersebut juga diisikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti gerai jualan, pameran bot laju, live cooking, paintball, sukan ria, permainan ATV dan cabutan nama bertuah.

Adapun objektif pesta tersebut diadakan adalah untuk memperkenalkan Kampung Penabai kepada orang ramai, yang mana kampung tersebut dahulunya pernah dijadikan sebagai jalan utama untuk menghubungkan orang ramai ke Daerah Belait menggunakan feri di samping dapat mempromosikan aktiviti perkampungan pada orang ramai.

Selain itu, ia juga dapat mengumpulkan dana tabung MPK Penabai bagi menjalankan projek MPK yang akan datang serta mengumpulkan peminat aktiviti memancing di negara ini untuk ikut serta dan memeriahkan lagi pesta berkenaan.

Awang Mohd Hafizan muncul sebagai pemenang pertandingan memancing melalui Program Xplorasi Kampung Penabai Kuala Tutong, kelmarin.