JASIN – Sebut “Churros”, mungkin ramai yang sudah dapat menggambarkan snek berwarna keperang-perangan ini yang disaluti gula dan serbuk kulit kayu manis. Kudapan yang popular di Sepanyol dan beberapa buah negara lain termasuk Perancis, Portugal, Peru dan Filipina ini semakin popular dalam kalangan masyarakat tempatan sehinggakan ramai yang menjadikannya sumber pendapatan.
Lebih enak dinikmati ketika masih panas, churros juga boleh dimakan bersama dengan sos yang pelbagai rasa. Jika ada yang berasa churros buatan tempatan kurang enak berbanding yang dijual di luar negara, mungkin mereka belum pernah makan yang dijual di pekan kecil Jasin, Melaka. Gerai yang menjual churros ini diusahakan Hafsah Umar Barnett, 27, bersama dengan adiknya, Imraan Umar Barnett, 18 tahun.
Pasar malam Jasin
Pasar malam Jasin diadakan setiap hari Sabtu dan gerai yang menjual pelbagai aneka barangan serta makanan ini terletak tidak jauh dari Masjid Ubaidullah (sebelum ini dikenali sebagai Masjid Jamek). Dalam banyak-banyak gerai yang menjual pakaian, buah-buahan serta makanan dan minuman, ada sebuah gerai yang menjual churros.
Suasana di pasar itu pada pukul 5.00 petang agak lengang tetapi orang ramai sudah mula bertumpu ke gerai yang menjual churros. Dengan sabar mereka menunggu snek yang sedang digoreng sambil mata melihat ke langit yang mendung kerana bimbang hujan.

Pasangan adik beradik Hafsah dan Imraan pula begitu tekun menggoreng churros dan kemudiannya memasukkan snek yang sudah ditaburkan dengan gula dan serbuk kulit kayu manis ke dalam beg kertas. Setiap pek yang mengandungi lima keping churros dijual dengan harga RM6. Pelanggan boleh memilih sama ada sos ditaburkan ke atas churros atau dipek dalam bekas kecil.
Bermula secara kecil-kecilan
Sebelum berniaga churros, Hafsah adalah seorang pensyarah bahasa Inggeris di sebuah kolej di Kuala Lumpur. Beliau membuat keputusan pada Mac 2015 untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan makanan di Jasin, kampung halaman ibunya.
“Memasak bukan hobi saya tetapi saya ada bakat semula jadi,” kata Hafsah yang berdarah keturunan Melayu-Bahamas. Ibunya, Zalimah Haris bertemu jodoh dengan bapanya, Umar Ralph Barnett, ahli perniagaan Bahamas di Arab Saudi.
Hafsah mengaku beliau jarang memasak tetapi jika datang mood, beliau boleh masak apa sahaja. “Beri apa juga resipi, saya boleh masak untuk anda,” katanya kepada penulis sambil tersenyum. Meskipun Hafsah mempunyai Diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Kolej Bahamas, berniaga bagaikan sudah sebati dalam dirinya kerana ayahnya juga ahli perniagaan. Sebelum memulakan perniagaan makanan, beliau tahu ia mesti sesuatu yang mudah disediakan dengan pantas. Pastinya churros.
Churros yang sempurna
Menurut Hafsah, churros yang betul-betul bagus mestilah rangup di bahagian luar sementara isi dalamnya lembut. Beliau mengambil masa beberapa ketika juga untuk mendapatkan resipi yang boleh menghasilkan churros yang sempurna. Adunan untuk membuat churros ini boleh disediakan lebih awal sebelum digoreng. Setiap churro yang dihasilkan panjangnya enam inci.
Adunan seberat sekilo boleh menghasilkan tujuh pek churros dan biasanya Hafsah akan menyediakan enam kilogram adunan setiap kali keluar berniaga. Setiap kali adunan habis, adunan baru akan disediakan dan dihantar ke gerai.
Sos untuk churros dibuat sendiri dan yang paling popular ialah sos karamel, cokelat dan strawberi. Di samping berniaga di pasar malam Jasin, Hafsah juga menjual churros di pasar malam di Taman Maju pada hari Rabu dan pasar malam Jasin Bestari pada hari Jumaat.
Memperluaskan perniagaan
Pada Ogos 2016, Hafsah mengorak langkah membuka sebuah restoran di Jasin. Restoran ini ‘The Pizza N Burger Shack’ menawarkan pelbagai hidangan Barat seperti burger dan pizza buatan sendiri di samping beberapa makanan tempatan.


“Kami tak ketinggalan menghidangkan nasi lemak dan nasi arab. Orang Malaysia mesti nak makan nasi,” kata Hafsah yang dibesarkan di Bahamas.
Biasanya Hafsah akan datang awal ke restoran untuk membuat persiapan yang perlu dengan dibantu seorang pekerja sementara adiknya, Haneef, 20, menjaga bahagian minuman serta kaunter depan. “Semuanya kami buat sendiri seperti daging burger dan roti ban,” tambahnya. Restoran ini memulakan perniagaan pada waktu makan tengahari dari pukul 12.30 tengahari hingga 10.00 malam.
Rancangan masa hadapan
Hafsah memulakan perniagaan restoran dengan bantuan ayahnya. Mereka menggunakan wang sendiri sekitar RM100,000 untuk menyediakan keperluan asas.
“Kami mulakan perniagaan restoran ini dengan wang sendiri dan tidak mengambil sebarang pinjaman. “Banyak lagi yang perlu kami buat dan akan lakukan apabila keadaan kewangan mengizinkan,” kata Hafsah.
Sambil melemparkan pandangan ke arah hiasan dalam restoran, beliau menyatakan harapan dapat menyiapkan papan tanda untuk restorannya serta menggunakan cermin untuk bahagian depan restoran. “Bagus juga kalau kami dapat buat lantai kayu dan cat dinding dengan warna oren dan merah,” katanya. Buat masa ini dinding restoran dicat dengan warna biru langit.
Apa yang Hafsah inginkan ialah menjadikan restoran itu restoran keluarga dan pengunjung berasa selesa menikmati hidangan mereka. “Saya mahu menerapkan konsep makanan segera supaya terus menerus ada pelanggan. “Kami juga tidak sediakan televisyen kerana ada orang yang akan duduk lama jika ada televisyen,” kata Hafsah.
Hafsah berkata beliau akan terus mencari idea baru untuk restorannya untuk menarik pelanggan. “Kami akan menjual manisan dan mungkin juga menawarkan khidmat sajian makanan,” katanya. Meskipun tidak ada banyak iklan mengenai perniagaannya, Hafsah berkata ramai orang berkunjung ke restorannya menerusi percakapan orang.
Maklumat terkini mengenai perniagaan Hafsah boleh diperoleh menerusi halaman Facebook Pizza N’ Burger Shack di sam-ping Instagram, @PizzaNBurgerShack. – Bernama