Hagia Sophia diiktiraf semula sebagai masjid

ISTANBUL, 12 JULAI – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Jumaat mengumumkan Hagia Sophia, satu daripada keajaiban seni bina dunia, akan dibuka semula kepada umat Islam sebagai masjid.

Bagaimanapun, pengisytiharan itu yang dibuat selepas Mahkamah Tinggi Turki menarik balik status monumen itu sebagai muzium, menimbulkan kemarahan masyarakat Kristian dan negara jiran, Greece.

Dalam ucapannya, Erdogan berkata, solat pertama di Hagia Sophia akan berlangsung pada 24 Julai.

“Dengan izin Tuhan, kita akan bersolat Jumaat bersama pada 24 Julai dan membuka semula Hagia Sophia kepada penganut Muslim.

“Seperti masjid yang lain, pintu Hagia Sophia juga akan dibuka luas kepada penduduk tempatan serta warga asing, Muslim dan bukan Muslim,” katanya yang memberi jaminan itu seperti dilaporkan oleh AFP.

Erdogan dalam pada itu mendesak supaya semua pihak menghormati keputusan Turki dan menegaskan isu berhubung apa fungsi Hagia Sophia adalah berkait kedaulatan negara terbabit.

Tapak bersejarah warisan dunia yang diiktiraf UNESCO itu, tarikan pelancong seluruh dunia dan pertama kali dibina sebagai Katedral Kristian pada empayar Byzantine, sebelum ditukar kepada masjid selepas penaklukan Uthmaniah pada 1453 serta muzium pada 1934.

Tahun lalu, 3.8 juta pelancong melawat monumen itu. Pembatalan keputusan kabinet Turki pada 1934 yang menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium, diputuskan Majlis Negara iaitu mahkamah pentadbiran tertinggi Turki, selepas turut mengambil kira monumen itu yang didaftarkan sebagai masjid dalam daftar hartanahnya. – AFP

Orang awam berjalan di hadapan Hagia Sophia di Istanbul pada 11 Julai 2020, sehari selepas mahkamah Turki membatalkan status Hagia Sophia sebagai muzium, justeru membenarkannya menjadi masjid semula. – AFP