Hagibis: Jepun mungkin batal perarakan imperial

TOKYO, 17 OKT – Jepun merancang menangguhkan satu perarakan besar-besaran maharaja meraikan pertabalan maharaja baharu menaiki takhta kerana taufan yang membinasakan, kata Perdana Menteri Shinzo Abe hari ini.

Perarakan dijadualkan berlangsung pada 22 Oktober sebagai sebahagian siri acara meraikan pertabalan rasmi Maharaja Naruhito menaiki takhta.

“Namun memandangkan keadaan bencana, kami akan meneliti penangguhan perarakan,” Abe memberitahu wartawan selepas beliau melawat tempat perlindungan di Fukushima untuk bertemu mangsa-mangsa taufan.

Hampir 80 orang terbunuh apabila Taufan Hagibis membadai Jepun pada malam Sabtu lalu, mengakibatkan kemusnahan meluas.

Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga mengatakan bahawa Abe sudah pun bersedia untuk mengarahkan kabinetnya mengatur semula jadual.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe (tengah) semasa memeriksa kawasan dilanda taufan minggu lalu di Koriyama, Fukushima hari ini. Jepun kemungkinan besar menangguhkan perarakan sempena pertabalan Maharaja Naruhito dijadualkan minggu depan kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada taufan membinasakan itu. – AFP

“Kami sedang menyusunnya semula, berdasarkan pelbagai situasi menyeluruh,” kata Suga tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Namun dia menambah bahawa upacara keagamaan dan bankuet imperial yang berkaitan dengan acara itu masih seperti jadual asal.

Penyiar awam NHK mengatakan perarakan kemungkinan besar dijadualkan semula pada 10 November dan jadual baharu itu akan disahkan pada satu mesyuarat kabinet esok.

Naruhito secara rasminya mewarisi takhta selepas ayahandanya turun takhta dalam Mei, namun satu siri majlis dan upacara meraikan kenaikan takhtanya dijadualkan pada bulan ini dan hujung tahun ini—termasuk majlis pertabalan rasmi dan perarakan yang pada asalnya dijadualkan pada Selasa depan.

Jepun masih lagi menjalankan operasi mencari dan memulihkan keadaan selepas Hagibis yang membawa hujan lebat tanpa dijangka mengakibatkan banjir besar. – AFP